suria

KDN Selaras Pemberian Kuasa Komandan Esscom Kepada Polis, Tentera - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyelaras pemberian kuasa Komandan operasi Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) secara bergilir kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu juga sedang diteliti Majlis Keselamatan Negara sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk keputusan muktamad.

 
"Perubahan kuasa lazimnya merujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atau Kementerian Pertahanan.
 
"Oleh yang demikian, bagi menentukan keseluruhan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dikawal sepenuhnya, maka Komandan ini lebih baik digilirkan untuk beberapa tahun tertentu kepada pihak polis dan tentera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga KDN di Kompleks Penjara Kajang dekat sini, hari ini. 

Ahmad Zahid berkata penyelarasan penggiliran itu penting bagi mengelak percanggahan kuasa dan melibatkan penggunaan aset yang dibeli oleh PDRM, ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Pada hemat saya, yang penting keselamatan penduduk di sekitar Esszone dan menghalang kemasukan penceroboh dari negara jiran serta penyeludupan barangan ke dalam atau luar terutamanya barangan bersubsidi," katanya.

Ditanya mengenai bidang kuasa ATM dalam membuat tangkapan ketika menjadi Komandan di kawasan Esscom itu, Ahmad Zahid berkata "Apa yang telah diselaraskan ialah mereka (tentera), mempunyai kuasa tangkapan, tetapi diserahkan kepada polis untuk tindakan".

Mengulas tahap keselamatan di pantai timur Sabah ekoran insiden penculikan di Semporna baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata pihaknya telah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup berdefinisi tinggi di kesemua 11 resort di premis masing-masing untuk memperketat kawalan keselamatan.

Beliau juga berkata satu memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani dengan kerajaan Nepal dan Bangladesh berhubung pengambilan pekerja negara itu di negara ini.
 
"Saya telah menjemput Menteri Tenaga Kerja Bangladesh dan Nepal ke Kuala Lumpur untuk tandatangan MoU itu. Namun, oleh kerana ia adalah di bawah kuasa Kementerian Sumber Manusia, maka KDN akan menjadi saksi untuk menentukan pelaksanaannya dapat dijalankan secara teratur," katanya.

Beliau mengulas penahanan 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bekerja di sebuah pusat peranginan di Sabah berhubung penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort, Semporna, Sabah.

Dalam laporan itu, Ahmad Zahid meminta pengusaha resort dan majikan tidak mengambil warga asing atau individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah kerana ia akan mengakibatkan pelbagai masalah kelak.
 
"Macam pekerja asing Bangladesh dan Nepal, mereka minta pihak agensi pekerja asing tak kenakan bayaran tinggi untuk pengambilan pekerja dalam negara. Kita sebenarnya dah tentukan jumlah yang cukup minimum untuk pemprosesan Biometrik dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun masalah timbul kerana agensi terbabit mengenakan bayaran tinggi iaitu lebih RM24,000.
 
"Mereka terpaksa gadaikan harta benda untuk membuat pinjaman... Jadi saya fikir perlu ada tindakan dilakukan bukan sahaja melibatkan kerajaan dengan kerajaan tetapi juga perjanjian perniagaan dengan perniagaan.
 




Esccom, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Lain