suria

15 Jemaah Umrah Negatif Jangkitan MERS-CoV - Subramaniam

Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
KUALA LUMPUR: Pemeriksaan ke atas 15 jemaah umrah yang pulang dari Tanah Suci bersama-sama seorang lelaki yang disahkan meninggal dunia akibat 'Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona' (MERS-CoV), menunjukkan mereka negatif daripada jangkitan wabak itu.

"Tidak ada kes lain. Semua yang diperiksa adalah negatif," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam kepada pemberita selepas merasmikan program kesihatan masyarakat MySihat India 1Malaysia 2014 di sini hari ini. 

Bagaimanapun beliau berkata kementerian akan terus memantau rapi kesemua jemaah terbabit bagi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Pada 13 April lepas, seorang lelaki berusia 54 tahun dari Batu Pahat, Johor meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail akibat pneumonia teruk susulan jangkitan MERS-CoV.

Mangsa pulang ke tanah air pada 29 Mac dan mengadu mengalami demam, batuk serta kesukaran bernafas selepas kira-kira 10 hari kemduain dan dimasukkan ke hospital berkenaan pada 10 April.

Sementara itu, mengulas program hari ini, Subramaniam berkata terdapat keperluan yang tinggi untuk mempertingkat kesedaran gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat India di Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini, tiada kes baharu dikesan dan tiada kluster jangkitan MERS-CoV dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kekal satu kes kematian.
 

"Di samping itu, tiada sampel positif jangkitan MERS-CoV daripada 31 sampel yang diambil daripada kontak rapat (dengan mangsa)," katanya dalam satu kenyatan.

Beliau berkata susulan kes itu, kementerian mengesan 197 individu yang mempunyai kontak rapat dengan mangsa, termasuk anggota keluarga serumah, saudara mara, penumpang pesawat (termasuk dua kumpulan pakej umrah), sahabat handai dan anggota kesihatan yang mengendalikan kes berkenaan.

 "Setiap kontak rapat diminta memantau kesihatan masing-masing untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir terdedah kepada kes, dan mereka tidak dikuarantin," katanya.

Mereka yang menunjukkan gejala seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas diminta mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

Dr Noor Hisham juga menasihati orang awam yang ingin melawat Timur Tengah, agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan tinggi seperti kerap mencuci tangan terutama selepas batuk, bersin dan bersalaman.

"Dalam tempoh lawatan, mereka diingatkan menggunakan penutup mulut dan hidung, mengelak daripada melawat ladang haiwan khususnya unta serta memegang mana-mana jenis haiwan selain menjauhi orang sakit," katanya.

Selain itu, beliau meminta agensi pelancongan yang menguruskan jemaah umrah dan haji memperkukuh kesedaran berhubung penularan wabak berkenaan dalam kalangan pelanggan mereka.

Untuk maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV, sila layari laman sesawang www.moh.gov.my. 


MERS-CoV, jemaah umrah, Subramaniam

Artikel Lain