suria

Jenazah Isteri Adun Paloh Selamat Dikebumi

Jenazah Maziah dibawa keluar dari rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak, pagi Jumaat untuk dikebumikan di Gua Musang. - fotoBERNAMA
GUA MUSANG: Jenazah isteri anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Datin Maziah Din, 57, yang maut susulan kemalangan di Km 23 Jalan Cameron Higlands-Simpang Pulai petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Tanah Rancangan Felda Chiku 5 di sini, Jumaat.

Jenazah Allahyarham yang dibawa pulang dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak, tiba di kediamannya di Bandar Chiku dekat sini pada pukul 7.15 pagi Jumaat.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan diiringi anggota keluarga dan ratusan penduduk di kawasan DUN Paloh serta Adun Palas Ab Aziz Yusof.

Maziah meninggal dunia di hospital selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu anaknya, Norfatim Nabila Norzula, 22, terbabas dan merempuh tebing bukit sebelum jatuh ke dalam longkang, dalam kejadian 6.30 petang Khamis.

Nahas turut menyebabkan suaminya Datuk Norzula Mat Diah, 57, serta anak lelaki mereka Mohd Fitri, 19, cedera dan kini dirawat di HRPB.

Norfatim Nabila serta dua lagi adik beradiknya dan anak saudara berusia setahun lapan bulan bagaimanapun selamat.
 
Norfatim Nabila yang ditemui pemberita selepas pengebumian itu berkata kejadian berlaku ketika hujan dan jalan licin menyebabkannya gagal mengawal SUV tersebut.

"Saya yang hanya mengalami kecederaan ringan cepat-cepat keluar untuk mengheret keluar adik saya, Nadirah, Mohd Fitri dan anak saudara Raja Haris sambil meminta pertolongan daripada orang ramai yang melalui kawasan itu.

"Hanya arwah ibu bersama bapa masih tersepit di dalam kereta yang remuk itu dan berjaya dikeluarkan anggota bomba tidak lama selepas itu," katanya. 

Ab Aziz pula ketika ditemui menyatakan rasa sedih atas kejadian menimpa keluarga Adun Paloh itu.

Katanya Allahyarham amat dikenali di kawasan Parlimen Gua Musang kerana sentiasa bergaul mesra dengan penduduk.

"Saya doakan Datuk Norzula cepat pulih," katanya.
Adun Paloh, kebumi, Maziah Din

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain