suria

Pengusaha Diberi Tempoh 24 Jam Bersihkan Resort Daripada Pati

Mohammad Mentek.
KOTA KINABALU:  Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek memberi tempoh 24 jam kepada semua pengusaha untuk membersihkan resort mereka yang beroperasi di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) daripada pekerja asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata jika pengusaha resort gagal mematuhi arahan itu, Esscom akan mengambil tindakan terhadap mereka kerana dianggap melindungi PATI.

"Kita akan meminta agensi pengeluar lesen untuk membatalkan lesen perniagaan mereka. Kita melihat perkara ini amat serius sebab dalam beberapa analisis yang kita buat, kejadian penculikan berlaku dengan begitu mudah. 

"Penculik sudah tahu di mana mereka ingin melakukan penculikan, seolah-olah mereka sudah tahu bagaimana untuk memasuki resort itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas bertemu pengurus dan pengusaha resort serta pusat peranginan di sini Selasa.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pertahanan Esscom Mejar Jeneral Datuk Masrani Parman dan Pengarah Bahagian Penguatkusaan Maritim Esscom Laksamana Pertama Maritim M.Karunanithi.

Mohammad berkata Esscom terpaksa mengambil langkah drastik itu kerana pengurus dan pemilik resort seolah-olah memandang ringan selain gagal mematuhi arahan pihak berkuasa sebelum ini.

Beliau berkata pengusaha resort tidak sepatutnya menggaji PATI kerana latar belakang mereka tidak diketahui dan boleh menyukarkan pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan langkah keselamatan.

Katanya, mulai sekarang, setiap resort diarah menghantar senarai penuh pekerja mereka kepada Esscom setiap tiga hari untuk pemeriksaan keselamatan.

"Berkuat kuasa serta-merta juga, tiada lagi perjalanan bot pelancong pada waktu malam iaitu selepas jam 6 petang. Penculikan bukan sahaja boleh berlaku di resort tetapi dalam perjalanan ke resort juga boleh berlaku. Kita telah mendapat maklumat ada beberapa cubaan menculik melibatkan bot-bot yang dalam perjalanan ke pulau-pulau," katanya.

Mohammad juga berkata arahan itu merangkumi aktiviti laut pada waktu malam seperti skuba.

Bagaimanapun, beliau berkata Esscom akan mengkaji kegiatan nelayan tempatan yang keluar pada waktu malam sebelum mengeluarkan arahan dan tidak menggalakkan aktiviti menangkap ikan pada waktu malam di kawasan berisiko berlakunya jenayah rentas sempadan kerana sebelum ini, ada nelayan tempatan menjadi mangsa culik.

Artikel Sebelum

Artikel Lain