suria

Kes Culik Di Semporna: Penculik Cuba Menyusup Ke Kepulauan Jolo

Polis Filipina sedang mengawal rapi pintu masuk ke negara itu di Perkampungan Indanan, wilayah Sulu.
KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan Filipina dan anggota kumpulan Abu Sayyaf yang menculik dua tebusan yang cuba menyusup ke Kepulauan Jolo saling mengintip antara satu sama lain.

Kumpulan tersebut yang menculik seorang warga China, Gao Huayun, 29, dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, dari Semporna pada Rabu, berada di Pulau Pandami, kira-kira empat jam perjalanan menggunakan bot dari kubu Abu Sayyaf di Jolo, selatan Filipina.

Ketua Polis wilayah Sulu, Supt Abrahim Orbita berkata, mereka menerima maklumat bahawa sekumpulan lelaki bersenjata itu dan tebusan mereka berada di Pulau Pandami.

"Maklumat ini agak boleh dipercayai. Salah seorang lelaki dalam kumpulan itu dikatakan berasal dari Pandami. Kami sedang mengesahkan semua maklumat ini," katanya.

Orbita berkata, sekumpulan lelaki tersebut berdepan kesukaran untuk membawa keluar tebusan mereka ke Kepulauan Jolo kerana pihak berkuasa Filipina sedang mengawal ketat pintu masuk negara itu," katanya.

Berdasarkan maklumat polis Filipina, beliau berkata, penculikan itu dilakukan oleh tentara upahan yang ada kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf.

Tentera Filipina telah mengenal pasti kumpulan yang diketuai oleh Murphy Ambang Ladjia atau dikenali sebagai Haji Gulam, bekas sub-komander Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang menyertai unit Abu Sayyaf di Tawi Tawi dalam kawasan Simunul yang diketuai oleh Binang Sahirol.

Gulam, yang berasal dari Pandami, didakwa melarikan dua wanita pada Rabu dan menuju ke Tawi Tawi sebelum bergerak ke Kepulauan Sulu dalam tempoh 48 jam lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain