suria

Laporan Audit: PAC Pertimbang Panggil Dua Kementerian

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed (tengah) bersama Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang (kanan) melihat Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 selepas Mesyuarat PAC dan Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara tersebut di Bangunan Parlimen di pada Isnin. Turut hadir Naib Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua lagi kementerian dalam pertimbangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung Laporan Ketua Audit Negara Siri Satu 2013.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, dua kementerian itu adalah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pertahanan.

"Semua kementerian ini perlu dalam keadaan bersedia, kita akan tentukan bila tarikhnya dan mereka akan hadir, tumpuan kita pada lima kementerian (lain) dahulu," katanya.

Nur Jazlan berkata, lima kementerian yang akan diminta untuk memberikan penjelasan berhubung laporan audit berkenaan adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,  Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya.

Isu Kementerian Pertahanan melibatkan perolehan peralatan perubatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur dan Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.

Manakala Kementerian Sumber Manusia mempunyai kaitan dengan isu pengurusan perolehan pembelajaran di pusat latihan teknologi tinggi dan institut latihan perindustrian.

Dalam pada itu Nur Jazlan berkata, PAC mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara mewujudkan satu audit khas bagi proses perolehan yang dilakukan oleh universiti awam di negara ini.

"Kita (PAC) melihat proses perolehan yang melibatkan universiti didapati lemah.

"Kita akan mencadangkan kepada Jabatan Audit Negara supaya mewujudkan audit khas untuk proses perolehan (yang dilakukan) universiti," katanya.

Menurut Nur Jazlan, PAC pada minggu lepas memanggil Kementerian Pendidikan mengenai isu kapal penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang tidak mematuhi proses perolehan dalam pembelian peralatan untuk universiti tersebut.

Artikel Berikut

Artikel Lain