suria

Kerajaan Janji Beri Taklimat MH370 Kepada MP Pembangkang

Orang ramai meletakkan lilin di atas banting selepas upacara keagamaan bagi memperingati pesawat MH370 di Wisma MCA baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan taklimat berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 kepada Ahli Parlimen pembangkang pada masa akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bagaimanapun berkata, taklimat lebih menyeluruh itu hanya akan disampaikan setelah pelaksanaan jawatankuasa penyiasat berhubung MH370 berada di tahap terbaik.

"Pelbagai jawatankuasa penyiasat telah ditubuhkan di bawah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan jawatankuasa peringkat antarabangsa antaranya Pasukan Teknikal Khas, 'Next of kin Committee' (Jawatankuasa Waris), 'Technical Committee' (Jawatankuasa Teknikal), 'Search Committee' (Jawatankuasa Pencarian) dan 'International Working Group' (Kumpulan Kerja Antarabangsa).

"Pada masa ini, segala tumpuan sedang diberikan terhadap proses memastikan perjalanan dan pelaksanaan semua jawatankuasa ini berada di tahap yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan di Parlimen di sini, Isnin.

Shahidan berkata demikian bagi mengulas mengenai surat yang diterima beliau daripada Ahli Parlimen Seremban dari DAP, Anthony Loke pada 2 April lalu yang memohon supaya taklimat berkaitan dengan MH370 diadakan.

Menerusi surat tersebut, Anthony meminta supaya taklimat itu disampaikan sendiri oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan mencadangkan ia diadakan pada 8 April.

Shahidan berkata, beliau amat berharap agar Anthony bersetuju untuk menerima cadangan kerajaan kerana Ahli Parlimen Seremban itu turut bersetuju untuk menerima sebarang cadangan lain.

Dalam pada itu, Shahidan ingin menegaskan bahawa tiada apa yang disembunyikan oleh kerajaan dalam perkara berkaitan MH370.

"Semua maklumat dan perkembangan terbaharu telah disampaikan secara telus dalam sidang akhbar yang disiarkan secara meluas di seluruh dunia," katanya.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi dalam penerbangannya ke Beijing pada 8 Mac lalu.

Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

MH370, MAS, Shahidan Kassim

Artikel Sebelum

Artikel Lain