suria

Bungkusan Peluru Dihantar Ke Penjara Seberang Prai

Gambar hiasan.

NIBONG TEBAL: Sebuah bungkusan mengandungi dua butir peluru hidup dikirim kepada seorang pegawai di Penjara Seberang Perai, Sungai Jawi, di sini semalam tanpa diketahui motif kiriman itu.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, seorang pegawai penjara wanita menerima bungkusan berkenaan yang didapati mengandungi peluru berbalut kertas tisu.

Jurucakap polis berkata bungkusan berkenaan pernah dihantar ke penjara itu pada Februari lepas dan pengirimnya menulis nama seorang pegawai penjara iaitu 'ASP Nordin' sebagai penerima.

"Bagaimanapun, tiada pegawai penjara yang bernama ASP Nordin bertugas di situ dan pihak pentadbiran enggan menerima kiriman terbabit sebelum ia diserahkan kembali ke pejabat pos.

"Namun selepas hampir sebulan, bungkusan itu dihantar sekali lagi ke penjara berkenaan dengan menggunakan nama pengirim dan penerima yang sama," katanya di sini.

Jurucakap itu berkata pegawai penjara bertugas yang curiga dengan kiriman terbabit kemudian membuka dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua peluru hidup bersaiz 9mm jenis 'Luger' S&W.

"Berikutan itu, pegawai penjara berkenaan membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati nama pengirim dan nombor telefon yang digunakan adalah milik seorang wanita yang tinggal di Sungai Petani, Kedah.

"Bagaimanapun, wanita berkenaan mendakwa dia bukan pengirim bungkusan berkenaan dan semakan rekod juga mendapati seorang pegawai penjara yang bernama ASP Nordin pernah menjalani latihan di penjara berkenaan dua tahun lalu," katanya.

Jurucakap itu berkata pegawai terbabit kini bertugas di penjara Alor Setar dan polis sudah menghubunginya namun beliau sedang bercuti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan pihaknya kini masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. 


Polis, Penjara Seberang Prai

Artikel Lain