suria

Azmin Ali Jadi Mangsa Kempen Burukkan Calon

Azmin Ali.
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali nampaknya menjadi sasaran 'kempen memburukkan calon' apabila perebutan jawatan tertinggi dalam parti itu semakin panas.

Azmin, yang mempertahankan jawatan itu dalam pertandingan enam penjuru dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden, Tian Chua; Datuk K. Ramachandran dan S. Murali, dilabelkan sebagai "tali barut Barisan Nasional" dan "kuda Trojan" menerusi tulisan berbaur penghinaan di Twitter.

Jason Lee @ jasonbhlee menulis di Twitter: "Apabila Utusan mengatakan dia kalah, mereka tahu Azmin telah menang."

Lee berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia yang menamakan Azmin sebagai tewas dalam pemilihan PKR.

Penang Cyber Tai-CORE menulis di Twitter bahawa Azmin disokong Kerajaan.

Sebagai respon, Azmin memberi amaran kepada para pengkritiknya supaya tidak bersembunyi di sebalik Twitter atau Facebook.

"Katakanlah ia dengan fakta dan bukti.

"Jika tidak anda akan berhadapan dengan tindakan," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada The Star.

Sumber parti mendakwa Azmin telah kehilangan penyokong, malah para penyokong DAP menyertai kempen untuk menentangnya.

"Azmin nampaknya kehilangan sokongan di kalangan ahli-ahli (PKR) di Sabah," tambah sumber itu.

Keadaan tidak baik antara Azmin dan presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berlaku secara terbuka pada Mei tahun lepas apabila beliau mengkritik Wan Azizah yang mencalonkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor tanpa berunding dengan pemimpin-pemimpin parti lain.

Beberapa pemimpin akar umbi bertindak balas dengan memanggil beliau untuk tindakan tatatertib terhadap Azmin.

Abdul Khalid menafikan bahawa terdapat unsur bantahan terhadap kepimpinan parti, berdasarkan bilangan yang tinggi dalam pencalonan jawatan tertinggi.

"Tidak ada protes. Ini adalah perkara biasa kerana tiada larangan terhadap sesiapa sahaja yang mahu bertanding, " kata Bernama memetik beliau sebagai berkata pada Ahad.

Ditanya mengenai peluangnya untuk memenangi jawatan itu, Abdul Khalid berkata: "Ahli-ahli PKR boleh mempercayai saya."

Artikel Lain