suria

MH370: Ahli Parlimen AS Tidak Lihat Sebarang Bukti Keganasan

Mike Rogers. Foto AP

WASHINGTON: Ahli parlimen Amerika Syarikat (AS) mengatakan bahawa para penyiasat mendapati tiada bukti setakat ini yang menunjukkan wujudnya unsur keganasan di dalam insiden kehilangan Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak tiga minggu lalu, dan adalah penting untuk mencari pesawat itu bagi memahami apa yang berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Dewan AS, Mike Rogers dan Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Senat, Dianne Feinstein, bercakap pada satu rancangan bual bicara pada Ahad bahawa mereka melihat tiada bukti jenayah.

"Saya tidak melihat apa-apa lagi (bukti keganasan) yang diperoleh daripada penyiasat yang boleh membawa kepada kesimpulan... apa-apa yang selain dari penerbangan biasa bahawa terdapat sesuatu yang berlaku atau sesuatu yang tidak kena," kata Rogers kepada Fox News pada Ahad.  

Para pegawai AS yang mempunyai kaitan dengan penyiasatan pada minggu lepas berkata bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah memeriksa data yang diterima dari simulator penerbangan buatan dan peralatan komputer lain yang digunakan oleh juruterbang MH370, tetapi tidak menemui sebarang keraguan.

Lebih dua puluh negara dan 60 pesawat serta kapal terus mencari pesawat Boeing 777 yang hilang pada Ahad, beberapa hari sebelum bateri yang diletakkan dalam peranti bersama dengan kota hitam akan kehabisan tenaga bateri.

Alan Diehl, yang berpengalaman selama 40 tahun dalam penyiasatan kemalangan untuk kerajaan dan tentera AS, menggesa Presiden AS, Barack Obama untuk menawarkan Malaysia dalam menggunakan lebih banyak pesawat AS P-3 Orions, pengangkutan tentera khas Air Force MC-130m dan kapal selam AS bagi mencari serpihan atau bangkai pesawat itu sebelum peranti bagi tujuan pengesanan itu kehabisan tenaga bateri.

Beliau berkata, usaha itu melibatkan kos yang tinggi, tetapi amat diperlukan demi keluarga mangsa pesawat, bagi menangani sebarang kemungkinan isu keselamatan bagi 1,100 pesawat Boeing 777 yang sedang digunakan, dan menangani sebarang impak negatif terhadap jualan akang datang bagi model pesawat Boeing yang terbaaru iaitu 777X. 

"Jika dalam beberapa tahun akan datang, kita masih tertanya-tanya mengenai misteri kehilangan pesawat Malaysia, ia mungkin akan menjejaskan pembelian pesawat itu yang disyaki mempunyai masalah, kata Diehl. 

"Keadaan itu akan memberi kesan kepada pendapatan syarikat dan beribu pekerjaan di Amerika Syarikat."

Pesawat Boeing 777 mempunyai salah satu rekod keselamatan terbaik bagi mana-mana pesawat komersial menjalankan perkhidmatannya. Hanya satu nahas membabitkan pesawat itu apabila Asiana Airlines penerbangan 214 terhempas di San Francisco, yang mengorbankan tiga daripada 307 di dalam pesawat itu. - REUTERS

Artikel Lain