suria

Gara-gara Dadah, Anak Tergamak Curi Di Kedai Bapa

Noor Zainy Mohd Noor.
BESUT: Gara-gara dadah, seorang lelaki berumur 37 tahun sanggup mencuri barangan alatan rumah di kedai bapanya yang mengusahakan kedai perkakasan pembinaan di Kampung Gong Bayor, Kampung Raja di sini pada Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata kejadian pukul 1 pagi itu disedari mangsa yang berumur 66 tahun ketika pergi memeriksa kedainya.

"Semasa tiba di pekarangan kedainya, mangsa ternampak sebuah van di hadapan kedai dan melihat dua suspek yang dikenalinya sedang memunggah beberapa barangan ke dalam van itu.

"Sebaik sahaja kedua-dua suspek beredar, mangsa terus memeriksa ke dalam kedai dan mendapati lima mangkuk tandas duduk dan lima gulung dawai pagar dilarikan suspek," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Noor Zainy berkata bertindak atas laporan yang dibuat oleh mangsa sepasukan polis berjaya menahan anak mangsa dan seorang lagi suspek pada Sabtu lepas.

Katanya, hasil pemeriksaan suspek didapati positif methamphetamine dan barang yang dicuri dijumpai semula setelah suspek mengaku menjual kepada rakannya.

Artikel Lain