suria

Pakar Pesawat, Penerbangan Antarabangsa Terlibat Beri Taklimat Kepada Keluarga Penumpang MH370

Sani Sayik, 70, nenek saudara kepada Norli Akmar Hamid, 33, penumpang pesawat MH370 ditenangkan oleh ahli keluarganya. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebagai memenuhi permintaan, pakar-pakar penerbangan antarabangsa yang terlibat dengan pesawat MH370 akan dijemput untuk memberi taklimat dari segi teknikal kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat yang hilang.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin berkata, bagaimanapun masih belum dapat dipastikan sama ada wakil dari syarikat Boeing akan terlibat dalam taklimat itu.

"Keluarga dari Beijing mahukan taklimat dengan melibatkan pakar-pakar tertentu dan permintaan itu sebagai mendapatkan maklumat tambahan.

"Tidak pasti lagi ia melibatkan Boeing tetapi pakar-pakar lain sedang dibincangkan untuk taklimat dalam masa terdekat," katanya pada taklimat harian MH370 di sini, Isnin.

Menurut Hishammuddin kerajaan dijangka akan mengadakan pertemuan peringkat tertinggi dengan keluarga yang baharu tiba di Malaysia dengan turut melibatkan pakar-pakar penerbangan dari negara-negara berbeza di seluruh dunia.

Katanya, beliau telah pun mengadakan pertemuan dengan sebahagian keluarga penumpang MH370 warga China yang tiba di Kuala Lumpur pada Ahad.

"Ia adalah satu pertemuan yang paling sukar yang pernah saya hadiri.

"Kami berada dalam kedudukan yang sukar. Soalan-soalan yang ahli keluarga mahukan jawapannya adalah soalan-soalan yang kami sendiri tiada jawapannya," katanya.

Namun, Hishammuddin berkata Malaysia tidak akan berputus asa untuk meneruskan carian.

Mengulas lanjut mengenai taklimat yang bakal diadakan beliau berkata pakar-pakar akan memberi penerangan dari segi teknikal kepada ahli keluarga.

"Pakar-pakar mampu menerangkan tentang penyelidikan dan metodologi data kepada ahli keluarga.

"Taklimat akan membuka peluang kepada ahli keluarga untuk mendengar sendiri secara terus daripada pakar-pakar," katanya.

Hishammuddin berkata beliau memahami ahli keluarga penumpang dan anak kapal sedang melalui saat-saat yang sukar.

Tambahnya, beliau juga faham bahawa ahli-ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 mahukan bukti fizikal sebelum menerima kenyataan pesawat berakhir di selatan Lautan HIndi.

Artikel Lain