suria

Empat Individu Didakwa Culik Tiga Warga Asing

Tiga lelaki, Nobi Hussein Abutar, Raja Mohd Hafiz Raja Shuib dan Suhaimi Alias dibawa keluar oleh anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret, Klang pada Isnin atas tuduhan menculik warga tiga lelaki warga asing. - fotoBERNAMA
KLANG: Empat individu termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga Myanmar berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan menculik tiga lelaki warga asing bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000, tiga minggu lepas.

Keempat-empat tertuduh ialah Raja Mohd Hafiz Raja Shuib, 28, dan Suhaimi Alias, 36, kedua-duanya penganggur, teman wanita Suhaimi, Noor Azila Samingan, 32, pekerja kilang dan Nobi Hussein Abutar, 22, tukang masak yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Mereka didakwa bersama-sama menculik, mengurung dan menahan dua lelaki warga Bangladesh, Md Golam Faruque dan Sazib serta seorang lelaki warga Myanmar Mohamed Rafik s/o Abu Talek bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000 di Pasaria Masiam Enterprise, No: 31, Jalan Pasar Baru Off Jalan Meru di sini, kira-kira pukul 4 pagi pada 16 Mac lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika tidak dihukum mati dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Keempat-empat tertuduh yang ditangkap pada 18 Mac lepas mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Mohd Fadhly Yaacob menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah Abdul Latiff, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis menahan enam suspek terdiri daripada tiga lelaki, seorang wanita, seorang warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh dalam tiga tangkapan berasingan serta membebaskan tiga warga asing dipercayai mangsa culik yang ditemui dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup di sebuah hotel di sini pada 18 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Shukor Sulong dilaporkan berkata seorang daripada mangsa adalah pekerja Pasar Borong Jalan Meru di sini sementara dua mangsa lain adalah pelanggan yang dilarikan dari pasar borong itu pada pukul 4 pagi, 16 Mac lepas, oleh suspek-suspek yang mengenalkan diri mereka sebagai polis.

Ketiga-tiga mangsa berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Artikel Lain