suria

Keluarga Penumpang Warga China Tuntut 'Kebenaran'

Saudara mara dan ahli keluarga penumpang MH370 warga China membawa sepanduk dan bendera negara mereka di hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Ahad. -fotoAFP
PETALING JAYA: Saudara-mara kepada 35 penumpang penerbangan MH370 warga China menuntut 'kebenaran' tentang apa yang berlaku kepada keluarga mereka.

Pada sidang akhbar di hotel Holiday Villa, Ahad, kumpulan saudara-mara penumpang itu membawa sepanduk dan bendera China sebelum memberikan kenyataan tegas.

Mereka menuntut supaya Malaysia Airlines memaklumkan kepada mereka tentang siasatan secara serta-merta dan 'secara bersemuka'.

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan Malaysia memohon maaf terhadap maklumat yang bercanggah yang dikeluarkan pada peringkat awal siasatan.

"Dalam sesi taklimat dengan mereka yang dipanggil 'kumpulan peringkat tertinggi' di Beijing, kami tidak diberitahu apa-apa, kata seorang wakil kumpulan.

"Semua soalan-soalan kami tidak dijawab.

"Mereka hanya terus berkata 'kami akan menyiasat' dan mereka akan kembali kepada kami dengan jawapan.

"Sebab itulah kami berada di sini," kata wakil kumpulan tersebut.

Kumpulan itu melaungkan: "Kami mahu bukti, kami mahu kebenaran, kami mahu saudara-mara kami kembali," selama beberapa kali semasa sidang akhbar itu.

Kira-kira 50 ahli keluarga penumpang MH370 warga China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pagi Ahad.
China, kebenaran, sepanduk, MH370

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain