suria

MB Selangor Akan Bincang Dengan Ongkili Soal Pelaksanaan WSIA

Abdul Khalid Ibrahim.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menemui Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili esok bagi membincangkan percanggahan modus operandi di antara kerajaan negeri dan Pusat berhubung pelaksanaan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006. 

Abdul Khalid berkata, percanggahan itu antara lain melibatkan tempoh masa pengambilanalih oleh kerajaan negeri pengurusan empat syarikat konsesi air - Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).

"Kami (kerajaan negeri dan Pusat) mempunyai modus operandi berbeza berhubung pelaksanaan Seksyen 114 di mana kerajaan Pusat melihat kepada pengambilalihan pengurusan aset daripada empat syarikat konsesi terlibat dalam tempoh masa antara enam bulan ke beberapa tahun," kata Abdul Khalid di sini, Rabu.

Kerajaan negeri pula berpendapat pengurusan aset dan pengambilalihan operasi perlu dibereskan keseluruhannya dalam tempoh tiga bulan selepas tandatangan MOU, katanya.   

Pada 26 Februari lepas, Abdul Khalid dan Ongkili menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu yang melibatkan soal penstrukturan semula industri air di Selangor. 

Melalui MoU itu, kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran kepada pihak pusat untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) berkuat kuasa 26 Feb lepas dan memastikan semua kebenaran berkaitan pembangunan projek LRAL2 diluluskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh MoU ditandatangani. 

Sebagai tambahan, kerajaan Persekutuan bersedia menyuntik dana untuk membantu kerajaan negeri mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkannya menguruskan perkhidmatan bekalan air di Selangor melalui sebuah syarikat milik kerajaan negeri.  

Mengenai catuan air di Selangor, Abdul Khalid berkata langkah itu akan diteruskan sehingga awal April berikutan Jabatan Meteorologi menjangkakan hujan akan turun pada waktu itu. 

"Kita tidak akan ubah keputusan kita dalam catuan air sehingga hujan turun dan peratus takungan air di empangan melebihi 65 ke 70 peratus," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain