suria

MH370: Perancis Tawar Kepakaran Pencarian Dalam Air

Jean Paul Troadec

SEPANG: Pakar-pakar Perancis akan menghulurkan kepakaran dalam operasi pencarian di bawah permukaan air kepada Malaysia yang mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.

Jean Paul Troadec, penasihat khas kepada Biro Penyiasatan Kemalangan Penerbangan Perancis berkata kepakaran mereka dalam siasatan nahas udara Penerbangan 447 Air France pada 2009 mungkin boleh dimanfaatkan dalam pencarian pesawat Boeing 777-200ER itu.

"Kami mempunyai kepakaran dalam pencarian dalam air, uji kaji dan aspek teknikal dalam bidang komunikasi dan elektronik," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Hotel Sama Sama di sini, Selasa.

Bagaimanapun Troadec berkata misi pencarian MH370 berbeza dengan operasi pencarian yang dapat mengesan pesawat 447 dalam tempoh yang singkat selepas nahas itu berlaku.

"Bezanya ialah tidak lama selepas nahas penerbangan 447 Air France itu, kami tahu batas kawasan di mana pesawat itu berada.

"Kami memulakan pencarian dengan segera selepas nahas itu (pada 2009) yang sudah tentu berbeza dengan misi sekarang. Akan ada kelainanannya," kata beliau.

Troadec ialah antara tiga pegawai daripada Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) yang tiba di Kuala Lumpur semalam untuk membantu operasi SAR.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan teori utama tentang kehilangan MH370 itu, beliau berkata: "Kami tidak mempunyai teori. Kami berada di sini hanya untuk membantu pihak berkuasa Malaysia.. Mereka yang menjalankan siasatan dan kami cuma berkongsi pakar kami dan nasihat."

Pesawat Boeing 777-200ER, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam Jumaat.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu.

Misi pencarian pesawat berkenaan setakat ini membabitkan 26 buah negara.

Perancis, MH370, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Lain