Proses bedah siasat akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa, Siti Nuraini Rusidi. -Foto BaliNews.id
SEORANG wanita warga Malaysia dilaporkan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti selam skuba di perairan Crystal Bay, Nusa Penida, Bali, Indonesia pada Rabu.Mangsa, Siti Nuraini Rusidi, 40, disahkan menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah ketika menyelam. Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.10 pagi ketika mangsa menyertai aktiviti selam skuba bersama sekumpulan penyelam di Manta Bay dan Crystal Bay.Media tempatan melaporkan mangsa bersama jurupandu selam, kapten bot dan beberapa peserta lain memulakan aktiviti kira-kira pukul 8 pagi.Ketika tiba di lokasi pertama di Manta Bay, jurupandu selam, Eugenius Francisco Ray, 33, menyedari mangsa mengalami batuk dan bertanyakan keadaannya sebelum memulakan aktiviti menyelam.Selepas selesai menyelam, kumpulan berkenaan bergerak ke Crystal Bay dan tiba kira-kira pukul 11 pagi.Mangsa sekali lagi ditanya sama ada sihat atau tidak bagi aktiviti tersebut dan wanita itu menyatakan mahu meneruskan menyelam bersama kumpulan berkenaan.Ketika berada di dalam air, kumpulan penyelam berdepan arus kuat sehingga tiga peserta lain dihanyutkan.Jurupandu kemudian meminta mangsa kekal di lokasi sementara dia mencari tiga penyelam berkenaan.Selepas arus reda, mangsa ditemukan sedang menyelam bersama kumpulan lain yang dikendalikan seorang lagi jurupandu, Wando Salone, 24.Wando kemudian melihat mangsa memberi isyarat menunjukkan bekalan oksigennya sudah habis selain berada dalam keadaan panik sehingga menanggalkan alat pernafasan.Dia segera memberikan alat pernafasannya kepada mangsa sebelum membantunya naik ke permukaan.Selepas dibawa ke atas bot, mangsa dilaporkan mengeluarkan buih dari hidung dan mulut, namun masih memberikan tindak balas.Mangsa kemudian dibawa menuju ke Dive Concepts Lembongan sebelum dirancang dihantar ke Klinik Nusa Medika bagi mendapatkan rawatan.Bagaimanapun, mangsa sudah tidak memberikan tindak balas ketika bantuan perubatan tiba dan dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari Crystal Bay ke Dive Concepts Lembongan.Kira-kira pukul 5 petang, jenazah dibawa menaiki bot dari Lembongan melalui Pelabuhan menuju Pelabuhan Sanur sebelum dihantar ke Hospital Bali Mandara untuk proses bedah siasat. -Agensi