suria

Sambutan Ke Politeknik Memberansangkan Tahun Ini - KP

KP Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar

ARAU: Sambutan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memohon memasuki politeknik di seluruh negara amat memberangsangkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pendidikan, Datuk Mohlis Jaafar.

Beliau berkata, tidak kurang 160,000 lepasan SPM memohon untuk mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan di 32 buah politeknik di negara ini.

"Kita bagaimanapun hanya mampu mengambil antara 38,000 hingga 40,000 pelajar setahun," katanya kepada pemberita selepas majlis Istiadat Konvokesyen Ke-8, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Ulu Pauh dekat sini, Selasa.

Sebanyak 1,463 graduan yang menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang menerima diploma dan sijil pada majlis itu yang berlangsung hingga esok.

Istiadat konvokesyen itu disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Mohlis berkata usaha sedang dibuat untuk menambah bilangan politeknik - terbaru di Pagoh, Johor yang dijangka siap tahun 2016.

Katanya, orang kurang upaya (OKU) yang cacat pendengaran dan bisu turut berpeluang belajar peringkat sijil di enam politeknik di Perlis, Johor, Selangor, Sabah, Perak dan Melaka dalam bidang Kemahiran Hotel Katering, Reka Bentuk Fesyen dan teknikal.

Beliau berpuas hati kerana pusat-pusat pengajian tinggi seluruh negara mencatatkan 20 peratus pengambilan baru adalah lepasan politeknik.

Artikel Lain