suria

Pimpinan PR Sokong Usaha Struktur Semula Industri Air Selangor - Anwar

Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat sebulat suara menyokong usaha Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menstruktur semula industri air di negeri itu, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, Abdul Khalid telah memberikan penjelasan kepada beliau bersama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. 

"Selesai mesyuarat tersebut, Majlis Presiden telah sebulat suara menyatakan sokongan pada dasarnya kepada usaha Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menstruktur semula industri air negeri Selangor. 

"Pimpinan Pakatan Rakyat telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi serta memberikan nasihat dan pandangan bagi memastikan proses penstrukturan industri air ini memberikan pulangan dan natijah yang terbaik kepada Kerajaan negeri Selangor serta rakyat Selangor, termasuk perkara-perkara yang disentuh di dalam MoU (memorandum persefahaman) di antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor pada 26 Februari lalu menandatangani MoU untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu. 

Sehubungan itu, Anwar berkata, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mencapai persetujuan bahawa kerajaan negeri di dalam konteks penstrukturan industri air akan terus mendapatkan maklum balas daripada satu jawatankuasa khas Pakatan Rakyat. 

Jawatankuasa itu diwakili oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli; Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. 

Anwar berkata, satu persetujuan juga dicapai yang melibatkan pakar perundangan, Tommy Thomas di dalam proses tersebut sebagai wakil bebas yang mewakili rakyat Selangor. 

"Mereka akan bertanggungjawab bekerjasama dengan Kerajaan Selangor di dalam pelaksanaan penstrukturan industri air ini termasuklah menyemak dan memberi maklumbalas kepada perjanjian-perjanjian yang bakal ditandatangani oleh Kerajaan Selangor di dalam isu ini," katanya.

Artikel Lain