suria

Pimpinan PR Setuju Khalid Tandatangan Perjanjian Utama Penstrukturan Air Selangor

Abdul Khalid Ibrahim.

KAJANG: Memorandum persefahaman (MoU) di antara Kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan mengenai penstrukturan semula air di negeri itu akan diteruskan seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perjanjian utama penstrukturan air itu akan ditandatangani mengikut perancangan setelah beliau mengadakan perbincangan dengan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR).

"Malam semalam (Khamis) saya telah berbincang dengan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat dan mereka bersetuju untuk perkara ini diteruskan.

"Walaupun ada beberapa kecurigaan tentang tanggungjawab (di antara) kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan tetapi ia mesti diselaraskan untuk menjamin rakyat Selangor mendapat manfaat terbaik daripadanya," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Khas Mesra Rakyat di Dewan Mesra Kajang di sini, Jumaat.

Abdul Khalid berkata, perbincangan telah diadakan bersama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; dan pakar-pakar yang dibawa.

Jelasnya, butiran Mou dan perjanjian tersebut akan dihebahkan kepada kepimpinan PR supaya mereka dapat bersama-sama menjelaskan kebaikannya kepada rakyat, khususnya di Selangor.

"Mereka (pimpinan) akan tengok (perjanjian) untuk mereka sama-sama dapat menerangkan kepada rakyat tentang kebaikan usaha kerajaan Negeri," katanya.

Ditanya sama ada MoU yang termeterai dengan kerajaan Persekutuan akan dipinda mengikut kehendak pimpinan PR, beliau berkata, perkara itu tidak akan berlaku.

"MoU tak ada pindaan. Yang akan dikemaskini ialah perjanjian," katanya.

Pada Rabu lalu, Anwar meminta Khalid supaya tidak tergesa-gesa menandatangani perjanjian utama penstrukturan air di Selangor pada minggu depan.

Beliau berkata, pimpinan PR memerlukan penjelasan dan butiran lebih terperinci mengenai MoU yang dimeterai dan perjanjian yang bakal ditandatangani.

Katanya, antara yang menjadi kebimbangan PR termasuk kenaikan tarif air di Selangor, projek Langat 2 dan jumlah peruntukan yang disifatkan sebagai samar-samar.

Artikel Lain