suria

Keadaan Jerebu Semakin Pulih - Palanivel

Palanivel.

CAMERON HIGHLANDS: Keadaan jerebu yang melanda negara sekarang semakin pulih berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan penurunan di kebanyakan kawasan, kata Menteri Sumber Asli dan AlamSekitar, Datuk Seri G.Palanivel.

Beliau berkata setakat ini, bacaan IPU di seluruh negara tidak mencapai 200.

"Sekiranya melebihi 200, semua sekolah diarahkan tutup dan orang ramai tidak digalakkan keluar rumah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Generasi Inspirasi Cameron Highlands serta penyampaian anugerah cemerlang dan peralatan untuk usahawan Empower Ecer di sini, Jumaat.

Beliau berkata, keadaan jerebu kini berpunca daripada kebakaran hutan di beberapa kawasan di Selangor, Perak, Pahang, Johor dan Terengganu.

"Dahulu, kebakaran di Sumatera menyebabkan negara ini dilanda jerebu tetapi sekarang, jerebu berpunca daripada kebakaran di negara ini," katanya sambil berharap hujan berlaku beberapa kawasan dilanda jerebu.

Pada program itu, beliau turut menyampaikan sijil pengiktirafan Empower Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Cameron Highlands kepada 18 pelajar dan 10 usahawan cemerlang.

Sementara itu, Palanivel berkata, Empower ECER merupakan program unik yang memberi penekanan kepada pengisian program tetapi juga dalam membina keyakinan diri para peserta.

"Program ini sangat bagus kerana ia melibatkan semua kaum dan ia dapat memperkasakan pelajar dan usahawan sehingga mencapai ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Empower ECER merupakan inisiatif serampang dua mata bagi pembangunan modal insan yang dilancarkan ECERDC pada 2010 bagi membantu merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar.

palanivel, jerebu

Artikel Lain