suria

Loji Langat 2 Dijangka Siap 2017 - Ongkili

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (duduk, kiri) dengan kerajaan Negeri Selangor yang diwakili oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika menandatangani memorandum persefahaman bagi penstrukturan semula industri bekalan air Selangor di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, Rabu. Majlis disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem agihannya (LRAL2) dijangka siap pada 2017, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran untuk merancang pembinaan LRAL2 pada Rabu dan semua kelulusan berkaitan pembangunan projek akan diluluskan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani di antara kerajaan negeri dan persekutuan.

"Kebenaran Merancang bagi enam projek pertama sudah diserahkan tadi dan kerja-kerja boleh bermula secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan negeri Selangor untuk penstrukturan semula industri air Selangor di sini Rabu.

LRAL2 dijangka siap dibina dalam 39 bulan dan dalam tempoh itu projek mitigasi perlu dilaksanakan dengan kerajaan kegeri perlu mengadakan program-program tambahan.

Ongkili berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM900 juta untuk projek mitigasi yang akan dilaksanakan sekarang. MoU itu ditandatangani oleh Ongkili yang mewakili Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diwakili Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Detik bersejarah yang berlangsung di Kompleks Perdana Putra di sini disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

LRAL2 merupakan satu langkah jangka panjang untuk menjamin bekalan air yang berterusan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Namun, projek itu tertangguh selepas rundingan penstrukturan semula air di Selangor menemui jalan buntu apabila pengambilalihan dengan konsep "willing buyer willing seller "(berminat membeli-berminat menjual) tidak dipersetujui oleh kebanyakan syarikat konsesi.

Melalui MoU itu, Abdul Khalid berkata kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) akan mengambil alih empat syarikat konsesi air di Selangor dengan kos RM9.65 bilion.

Beliau berkata proses pengambilalihan empat syarikat konsesi, iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd. (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd, akan mengambil masa tiga bulan.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan akan menyuntik dana tambahan RM2 bilion kepada Kerajaan Selangor untuk melunaskan pembayaran ekuiti sementara Pengurusan Aset Air Bhd akan mengambil alih pinjaman dan bon syarikat-syarikat konsesi berjumlah RM7.8 bilion.

Abdul Khalid memberi jaminan bahawa pengambilalihan itu tidak akan melibatkan pembuangan pekerja dan pengurusan di keempat-empat syarikat konsesi itu kerana ia hanya melibatkan penyusunan semula aset.

Sementara itu, beliau berkata sebagai penyelesaian jangka pendek untuk menangani kekurangan air, kerajaan negeri mengenal pasti satu tapak untuk membuat takungan air bagi menambah bekalan air mentah melebihi 600 juta liter sehari di kawasan Bestari Jaya, Kuala Selangor.

"Dengan ini, penduduk di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya akan mendapat bekalan air dan mereka tidak perlu khuatir ketiadaan air sebelum pembinaan LRAL2 siap," katanya.

Abdul Khalid berkata kerajaan kerajaan negeri Selangor yang mengambil alih empat-empat syarikat konsesi air akan menurunkan kadar air tanpa hasil (NRW)kepada 27 peratus.

langat2, loji

Artikel Lain