suria

Penyelesaian Penstrukturan Air Selangor Diumum Dalam Masa Dua Minggu

Tan Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM: Kerajaan negeri menjangkakan akan membuat pengumuman mengenai tindakan penyelesaian masalah penstrukturan air di Selangor dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penstrukturan semula industri air di Selangor akan lengkap tidak lama lagi setelah kerajaan negeri menjalankan pelbagai usaha sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Suka untuk saya maklumkan bahawa dalam tempoh dua minggu akan datang kita akan melancarkan satu projek, yang selain daripada projek Langat 2.

"Ini menunjukkan bagaimana seriusnya kerajaan negeri Selangor mahu membekalkan air dan menangani masalah air kepada komuniti," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika sesi taklimat Perkembangan Isu Air Negeri Selangor kepada wakil-wakil daripada pihak media, firma-firma swasta, pemaju dan pengilang, di sini, Jumaat.

Menurut Abdul Khalid, langkah tersebut diambil setelah perbincangan antara kerajaan negeri dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) gagal mencapai kata sepakat.

"Kita telah bincang dengan Syabas dan Span tetapi mereka tidak bagi kelulusan. Jadi kita ada cara penyelesaian sendiri dan kita akan teruskan projek tersebut," katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut akan memberi penekanan terhadap pelaksanaan efektif dan pengurusan air yang efisyen untuk kegunaan domestik dan industri.

Kata Khalid lagi, beliau telah melantik seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) untuk projek penstrukturan tersebut sejak setahun lalu namun enggan mendedahkan identitinya buat masa ini.

"Ketika kita memerlukan 600 juta liter air air terawat sehari, projek ini mampu memberi lebih dari itu sehingga 3,000 juta liter air terawat sehari menjelang tahun 2035," katanya.

Mengenai cuaca panas dan kering yang dialami pada masa ini, Abdul Khalid berkata beliau telah berjumpa dengan wakil Syabas dan Span bagi membincangkan penyelesaian isu ini.

Dalam pada itu beliau turut membidas laporan media yang mengaitkan gangguan air terawat dengan keengganan menandatangani persetujuan projek Langat 2.

Beliau turut menjelaskan bahawa Syabas gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) sebanyak 20 peratus mengikut perjanjian konsensi menjadikan salah satu sebab rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak mendapat air bersih secukupnya.

Air, Selangor, Khalid Ibrahim, SPAN

Artikel Sebelum

BN 'Underdog' Di DUN Kajang - PM

Artikel Berikut

Artikel Lain