suria

Malaysia Kenal Pasti Empat Trend Mega Tarik Pelancong - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diberi penerangan mengenai pembangunan projek oleh Ketua pegawai Eksekutif (CEO) KAJ Development Sdn Bhd, Datuk Michelle Ong ketika hadir merasmikan pelan induk Melaka Gateway di Melaka, Jumaat. Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (kanan). Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diberi penerangan mengenai pembangunan projek oleh Ketua pegawai Eksekutif (CEO) KAJ Development Sdn Bhd, Datuk Michelle Ong ketika hadir merasmikan pelan induk Melaka Gateway di Melaka, Jumaat. Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (kanan). Foto BERNAMA

MELAKA: Malaysia mengenal pasti empat trend mega yang membawa ramai pelancong biasa dan elit berkunjung ke negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, trend itu ialah perwujudan elit global, rentak kehidupan yang lebih rancak, naik turun perdagangan dan kemunculan semakin banyak peneraju baharu pasaran.

Menurut beliau, perwujudan elit global merujuk kepada peningkatan jumlah pengguna berpendapatan atau bernilai tinggi di seluruh dunia.

"Oleh itu, kemampuan menawarkan produk mewah dan perkhidmatan bertahap tinggi kini menjadi lebih penting berbanding sebelumnya," kata beliau ketika merasmikan pelan induk Melaka Gateway di Pulau Melaka di sini, Jumaat.

Melaka Gateway, dengan anggaran nilai kasar pembangunan sebanyak RM40 bilion, mengandungi 15 projek istimewa, termasuk Malaysia Eye, International Designer Street, Sunset Beach, Melaka Cruise Shopping Gallery, Terminal Kapal Persiaran dan Feri Antarabangsa Melaka dan Melaka Gateway Marina.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan ketua pegawai eksekutif KAJ Development Sdn Bhd, Datuk Michelle Ong.

Najib berkata Melaka Gateway, yang dilengkapi jeti serba mewah untuk kegunaan kapal persiaran antarabangsa dan marina terbesar di Asia, diyakini akan menarik ramai pelancong.

Kata beliau, setelah melakar pencapaian cemerlang dalam pengendalian pelabuhan kargo dan kontena, kini tibalah masanya Malaysia memberi fokus terhadap pelabuhan kapal persiaran pula.

"Kita yakin, kejayaan jeti kapal persiaran antarabangsa Melaka yang merupakan sebahagian daripada projek Melaka Gateway, bukan sahaja akan menarik pengunjung kelas berada yang menggunakan kapal persiaran, tetapi juga merintis jalan ke arah pembukaan pelabuhan kapal persiaran lain di Pantai Timur Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak," katanya.

Perdana menteri berkata, rentak kehidupan yang lebih rancak pula merujuk kepada pengguna yang ingin menikmati percutian singkat dengan sebanyak mungkin sebagai cara untuk mengurangkan tekanan seperti mengunjungi tempat liburan, spa dan pusat kesihatan.

Trend mega ketiga pula, kata beliau, merujuk kepada perbelanjaan berpilih iaitu pengguna akan berbelanja besar untuk sesuatu perkara dan berjimat tentang perkara lain.

Sejajar dengan itu, tegas perdana menteri, Malaysia menawarkan pelbagai produk pelancongan dari kelas biasa, pertengahan dan tinggi.

Trend mega keempat, kata beliau, ialah memberi fokus untuk menembusi pendahulu baharu pasaran seperti China, India dan negara Timur Tengah.

Najib berkata, sumbangan industri pelancongan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menunjukkan arah aliran menaik.

Bagi 2014, sektor ini dijangka menyumbang kira-kira 12.5 peratus kepada KDNK, meningkat berbanding hampir 12 peratus pada 2013.

"Secara tepat, hasil sebanyak 12.5 peratus daripada pelancongan adalah berjumlah lebih kurang RM125 bilion, dan ini berdasarkan KDNK negara kita pada 2013 yang dijangka mencapai lebih RM1 trilion," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain