suria

Pusat Khidmat Adun Penaga Dipecah Masuk

KEPALA BATAS: Pusat khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga Md Zain Ahmad dekat sini dipecah masuk individu tidak dikenali awal pagi Isnin.

Kejadian hanya disedari kakitangan wakil rakyat itu yang bertugas pada 9.45 pagi selepas melihat siling di pejabat berkenaan pecah dan keadaan pejabat berkenaan berselerak.

Md Zain berkata beliau mengesyaki suspek menyusup masuk melalui bahagian yang terlindung dan bukan dari pintu utama kerana semua pintu serta tingkap pejabatnya berkunci.

"Pemeriksaan mendapati tiada dokumen penting atau barangan berharga hilang, dan kita percaya motif utama pencuri memasuki pejabat ini kerana kemungkinan mereka hendak memasuki pajak gadai yang terletak bersebelahan," katanya kepada pemberita, Isnin.

Oleh itu, beliau belum membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan mungkin akan berbuat demikian pada Selasa.

Pejabat Adun Penaga itu terletak di bangunan yang turut menempatkan beberapa premis perniagaan termasuk sebuah pajak gadai Ar-Rahnu milik Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YaPEIM).

Sementara itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Latifah berkata beliau terdengar bunyi seperti pintu pagar besi ditolak ketika berada di rumahnya yang terletak berhadapan pajak gadai berkenaan pada 1 pagi.

"Ketika itu saya sedang berehat selepas selesai bekerja sebagai jaga di pajak gadai berkenaan dan bertugas syif petang.

"Saya kemudian pergi ke pajak gadai itu dan sebaik sampai, saya nampak ada sebuah kereta di depan pejabat Adun itu dan mungkin pemandunya nampak saya, dia terus memecut meninggalkan kawasan berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain