suria

Tidak Perlu Layan Desakan Wujud Semula ISA - Musa Hitam

MARAN: Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata kerajaan tidak perlu melayan desakan mana-mana pihak untuk mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata kerajaan juga tidak perlu mewujudkan semula ISA sebaliknya harus memberi tumpuan kepada aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

"Isunya sekarang bukan undang-undang atau akta tertentu yang perlu diperkenalkan atau dilaksanakan, tetapi kaedah dalam melaksanakan atau menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

"Malaysia sebenarnya sudah mencapai tahap kemajuan tersendiri apabila kerajaan mengumumkan keputusan memansuhkan ISA. Jadi, apa keperluan untuk membawa balik ISA?," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog dan ramah mesra bersama 400 pelajar sempena Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) tajaan Yayasan Sime Darby di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jengka, di sini, Isnin.

Pada majlis itu, mereka berpeluang berdialog bersama Musa mengenai pelbagai isu semasa dan perkembangan program MDAB, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010.

Mengulas lanjut, Musa berkata pasukan keselamatan negara juga cukup matang untuk berdepan dengan pelbagai provokasi dan ini terbukti dengan kejayaan mereka menangani krisis dalam negara.

"Kita lihat sendiri bahawa pasukan keselamatan yang ada sekarang mampu menyelesaikan pelbagai krisis dan menangani ancaman. Sudah tentu semua ini mematangkan mereka dalam menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan supaya melaksanakan semula ISA bagi menangani ekstremis minoriti yang semakin melampau di negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain