suria

Tidak Perlu Hidupkan ISA - Khairy

Menteri Belia Dan Sukan Khairy Jamaluddin (dua, kiri) beramah mesra bersama mahasiswa Malaysian Student Council of Australia (MASCA) selepas merasmikan majlis penutup 1st Down Under Camp 2014 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Ahad. Turut hadir Pengerusi MASCA, Johan Kamal Hamidon (kiri). -fotoBERNAMA

BANGI: Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu dihidupkan semula kerana ia tidak konsisten dengan hak asasi dan sivil yang diamalkan ketika ini, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata akta-akta sedia ada sudah cukup untuk menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan antaranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menangani ancaman keganasan.

"Sekiranya isunya adalah soal isu sensitif dan sebagainya, kita sudah ada Akta Hasutan dan juga Penal Code (Kanun Keseksaan) untuk menangani jenayah-jenayah ataupun apa sahaja yang dianggap mengguris sensitiviti rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis penutupan '1st Down Under Camp 2014,' iaitu kem persediaan mahasiswa ke Australia anjuran Malaysian Students Council of Australia.

Malah Khairy turut menolak dakwaan akta yang menggantikan ISA sebagai 'terlalu lembut' untuk menangani isu-isu semasa.

"Saya tidak setuju kalau pengganti ISA ini lembut, sebab pengganti ISA...Sosma ini untuk pengganas, bukan untuk musuh politik. Kalau musuh politik kita jawab dalam hujah, kita jawab dalam pilihan raya. Tak payah nak tangkap. Itu zaman dahulu punya politik," katanya.

Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak mungkin mewujudkan semula ISA. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain