suria

Ibu Bapa Tidak Pernah Ambil Iktibar Insiden Kanak-Kanak Hilang - Chong

Tin Song Sheng.
Tin Song Sheng.
Tin Song Sheng.

KUALA LUMPUR: Beliau telah memulakan 'karier' dengan menjejaki kanak-kanak dan saudara-mara yang hilang, remaja lari dari rumah dan membantu peminjam Ah Long.

Sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong sudah mencipta nama sebagai Mr People Finder sepanjang kerjayanya selama 26 tahun.

Tetapi semua itu tidak bermakna apa-apa bagi Chong apabila Tin Song Sheng (gambar) yang hilang pada usia tujuh tahun masih belum lagi dijumpai selepas 17 tahun.

"Saya tidak pernah melupakannya. Perkara paling menyedihkan adalah saya fikir perkara akan berubah selepas insiden itu; bahawa ibu bapa akan lebih berhati-hati dengan anak mereka. Namun, tiada siapa mengambil iktibar daripada insiden itu," katanya.

Ketika kejadian itu, ribut petir berlaku, kata Chong, dan Tin sedang duduk di kantin sekolahnya di Taman Rashna, Klang, sementara menunggu bas sampai.

Dia dilihat kali terakhir dibawa oleh seorang wanita pertengahan usia.

"Saya menghubungi setiap orang. Saya pergi ke media, pertubuhan bukan kerajaan dan orang asli turut membawa saya ke hutan untuk mencari Tin.

"Pos Malaysia mengedarkan ribuan poster gambar kanak-kanak lelaki itu, malah kita turut mendapat bantuan daripada polis di sempadan Thai untuk menjejakinya.

"Sehingga hari ini, ibu bapanya masih mencari Tin. Saya ada sesekali berhubung dengan mereka tetapi terputus hubungan dengan mereka selepas itu.

"Saya percaya Tin berusia 25 tahun sekarang. Mungkin dia akan menamatkan pengajian atau mula bekerja. Mungkin saya tidak akan pernah mengetahui apa yang telah terjadi kepadanya," kata Chong.

Apa yang lebih membimbangkan Chong adalah 'berita kehilangan kanak-kanak' yang menjadi tumpuan orang ramai setiap tahun.

Bagi Chong, berita seperti itu berlaku terlalu kerap.

"Kita tidak pernah mengambil iktibar daripada tragedi sebelum ini," katanya.

Artikel Lain