suria

Tokoh Penulisan Dan Politik Borhan Mohd Yaman Meninggal Dunia

Mantan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyiram air mawar ke pusara Borhan Mohd Yaman di Tanah Perkuburan Islam Masjid Klebang, pada Ahad.Foto:BERNAMA
Mantan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyiram air mawar ke pusara Borhan Mohd Yaman di Tanah Perkuburan Islam Masjid Klebang, pada Ahad.Foto:BERNAMA
Mantan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyiram air mawar ke pusara Borhan Mohd Yaman di Tanah Perkuburan Islam Masjid Klebang, pada Ahad.Foto:BERNAMA

MELAKA: Tokoh yang disegani ramai dalam bidang penulisan dan politik Datuk Borhan Mohd Yaman, 84, atau nama penanya Burmy, meninggal dunia kerana sakit tua pada 7.30 pagi Ahad di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Klebang di sini pada pukul 2.15 petang.

Allahyarham Borhan meninggalkan enam anak, 28 cucu dan 11 cicit manakala isteri Allahyarham, Maimunah Md Shah, 70, meninggal dunia pada tahun 2003.

Anak sulung Allahyarham, Datuk Zainal Abidin, 60, berkata Allahyarham bapanya sakit akibat kemerosotan beberapa organ dalaman iaitu paru-paru, jantung dan buah pinggang selama hampir setahun.

"Kami adik-beradik bergilir-gilir menjaga Allahyarham yang dirawat di Hospital Pakar KPJ Kajang dan Allahyarham memerlukan rawatan antaranya dialisis di sana.

"Sebulan yang lalu kesihatannya semakin merosot setelah ada pendarahan apabila Allahyarham buang air dan semalam pembedahan dilakukan di HUKM, namun Allah lebih menyayangi Allahyarham," katanya kepada pemberita selepas pengebumian jenazah Allahyarham di sini.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham Borhan ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad; dan Exco Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Datuk Latiff Tamby Chik.

Zainal Abidin, yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan dan seorang penulis serta penganalisis politik, berkata Allahyarham bapanya sentiasa prihatin terhadap perjuangan dan nasib orang Melayu pada masa akan datang.

"Beliau amat berharap Umno sentiasa jadi benteng pertahanan orang Melayu dulu, sekarang dan selamanya itulah yang selalu dia katakan pada saya bila kami berbicara," katanya dengan nada sebak.

Anak ketiga Allahyarham, Muhammad Yamin, 53, berkata Allahyarham sentiasa berpesan agar sentiasa menjaga penulisan bahasa Melayu dan budaya Melayu supaya generasi akan datang sentiasa tahu apa yang dimaksudkan dengan Melayu itu sendiri.

"Allahyarham mempunyai kira-kira 3,000 naskhah buku berkaitan budaya dan penulisan Melayu yang diamanahkan kepada keluarga untuk dipelihara buat tatapan anak, cucu, cicit juga penulis muda pada masa akan datang," katanya.

Mohd Ali berkata beliau mengenali Allahyarham lebih sepuluh tahun lepas dan Allahyarham Borhan bersama Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba memainkan peranan penting menyusun Umno Melaka supaya lebih berkesan dalam memperjuangkan nasib orang Melayu di negeri ini.

"Allahyarham pernah menerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang Umno Melaka tahun lepas dan Tokoh Budaya Melaka pada tahun 1997. Jasa beliau amat banyak untuk orang Melayu, perginya beliau merupakan kehilangan besar kepada negara," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain