suria

APMM Tawau Tumpas Dua Kegiatan Penyeludupan Di Perairan Batu-Batu

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Tawau menumpaskan dua kegiatan penyeludupan di sekitar Perairan Batu-Batu, Tawau dekat sini, Khamis lepas.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Tawau Komander Maritim Azman Shamsudin berkata anggota APMM yang sedang menjalankan tugas pada 2.35 petang dengan memeriksa dua buah bot jongkong di sekitar kawasan itu turut menahan dua lelaki warga Indonesia.

Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati kira-kira 850kg minyak masak, 700kg tepung gandum dan 840kg gula pasir di dalam bot itu yang dinaiki seorang juragan warganegara Indonesia berumur lingkungan 20-an, katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Pemeriksaan ke atas bot kedua pula mendapati seorang juragan warganegara Indonesia berumur lingkungan 30-an berada di dalam bot itu yang dimuatkan dengan kira-kira 1,700kg minyak masak dan 1,200kg gula pasir.

Azman berkata kedua-dua juragan itu ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM15,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun kerana memiliki barang kawalan berjadual tanpa kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia.

Azman menegaskan APMM akan terus menjalankan tugas penguatkuasaan di perairan Sabah khususnya perairan Tawau bagi menyekat kegiatan penyeludupan daripada terus berlaku.

Beliau turut berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan itu menghubungi Hotline APMM Tawau di talian 089-750116 /089-752115. - BERNAMA

Artikel Lain