suria

Amaran Ribut Petir Di Perairan Negara Hingga Lewat Petang Ini

KUALA LUMPUR: Ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Sarawak, Labuan dan pantai barat Sabah dijangka berterusan sehingga lewat petang Jumaat.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan pada Jumaat berkata ribut petir itu boleh menyebabkan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m.

Ribut petir juga berlaku di kawasan perairan Selangor dan Sandakan, Sabah yang menyebabkan angin kencang sehingga 50kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5m, yang dijangka berterusan sehingga lewat petang Jumaat.

Selain itu, keadaan ini juga berlaku di kawasan perairan Reef North, Palawan dan Layang-Layang yang boleh menyebabkan angin kencang melebihi 60kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian melebihi 5.5m.

Sementara itu, angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga 31 Disember.

Angin kencang timur laut dengan kelajuan dari 60kmsj berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Palawan, Reef North dan Layang-Layang serta ombak mencapai ketinggian melebihi 5.5m.

Kawasan pantai di negeri berkenaan turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga 31 Disember.

Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk menangkap ikan, pekerja di pelantar minyak dan perkhidmatan feri. - BERNAMA

Artikel Lain