suria

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Bebas Tuduhan Rasuah

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini Jumaat membebas dan melepaskan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohamad Daud Dol Moin daripada dua pertuduhan menerima suapan RM100,000 berhubung kontrak percetakan wang kertas, sembilan tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan Mohamad Daud, 60, menerima sogokan daripada Mohd Fazli Ibrahim bagi memberi kelulusan kepada seorang ahli perniagaan Abdul Kayum Syed Ahmad mendapatkan kontrak berkenaan.

Dalam penghakimannya, Asmadi berkata Mohd Fazli juga tidak pernah menyatakan dia disuruh Abdul Kayum memberi suapan kepada Mohamad Daud dan kontrak mencetak wang kertas polimer RM5 dikeluarkan Kementerian Kewangan dan bukan Bank Negara.

Beliau berkata oleh itu, fakta berkenaan didapati tidak menyokong kes pendakwaan.

Mohamad Daud didakwa bersetuju menerima suapan RM50,000 daripada Abdul Kayum melalui Mohd Fadzli di Restoran Dome, Bangsar Shopping Centre pada 1 Disember 2004 dan RM50,000 lagi pada 16 Februari 2005 di tempat sama.

Suapan itu adalah bagi membantu Abdul Kayum mendapatkan kontrak 'Printing & Purchase of RM5 Polymer Banknotes Agreement' bertarikh 24 Dis 2003 antara Bank Negara dan syarikat Note Printing Australia Ltd.

Mohamad Daud didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 bergantung mana lebih tinggi.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Saifuddin manakala Mohd Daud oleh Datuk Salehuddin Saidin.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Mohamad Daud berkata dia gembira namanya dapat dibersihkan semula.

Dia bersara daripada Bank Negara pada 2009 sebelum dihadap ke mahkamah pada 2011. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain