suria

Pertembungan Adik Beradik Rebut Ketua Bahagian Beaufort

Azizah Mohd Dun
Azizah Mohd Dun
Azizah Mohd Dun

KOTA KINABALU: Perebutan jawatan Ketua Umno Bahagian Beaufort akan menjadi medan 'pertandingan adik beradik' antara Datuk Azizah Mohd Dun dan adiknya, Saridah.

Azizah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyahut cabaran itu dengan berkata "ia sebahagian daripada politik".

Ahli Parlimen Beaufort itu berkata, walaupun dia percaya bahawa Saridah yang juga Ketua Puteri Bahagian, mempunyai hak untuk bertanding, beliau masih mempunyai tempoh yang panjang dan lebih peluang dalam politik.

"Dia ada hak untuk bertanding tetapi secara peribadinya, saya percaya perjalanannya masih panjang.

"Mereka yang bertanding harus tahu kekuatan masing-masing," katanya.

Azizah berkata ahli Umno di peringkat akar umbi perlu memilih calon berdasarkan keupayaan mereka kerana terdapat perkara yang harus dilakukan untuk parti dan negara.

Beliau turut yakin akan menang kerana telah membuktikan kepada dirinya selepas memenangi kerusi Parlimen Beaufort yang turut ditandingi Datuk Lajim Ukin pada pilihan raya umum yang lalu.

Pertandingan untuk jawatan itu akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Selain Azizah dan Saridah, turut akan bertanding pemangku Ketua UMNO Bahagian itu, Isnin Aliasnih yang menggantikan tempat Lajim selepas beliau bertindak keluar parti dan menyertai pembangkang.

Sementara itu, Saridah berkata beliau mengambil keputusan untuk bertanding kerana ingin membantu memperkukuh Umno.

Menurut Saridah, pertandingan dengan kakaknya bukan satu masalah.

"Kami menganggap ia sebagai pertandingan sihat," katanya.

Saridah berkata keputusannya itu akan memberi lebih pilihan kepada ahli peringkat akar umbi untuk memilih calon pemimpin mereka.

"Ia juga sejajar dengan nasihat kepimpinan untuk menggalakkan calon yang lebih muda memegang jawatan di dalam parti," katanya.

Artikel Lain