suria

Warga Peru Diberkas Berhubung Kes Pecah Mesin ATM Di Maran

MARAN: Seorang lagi suspek kes mencuri wang berjumlah RM174,000 dari mesin pengeluar wang automatik (ATM) di sebuah bank di sini semalam ditahan di Kampung Berkat dekat sini, Khamis.

Suspek merupakan warga Peru berumur 31 tahun ditahan kira-kira pukul 8.15 pagi kira-kira lima kilometer dari Plaza Tol Maran, tempat dia meloloskan diri sebelum ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata polis menerima maklumat daripada seorang penduduk kampung yang mendapati seorang lelaki sedang tidur di rumahnya kira-kira pukul 7.45 pagi.

"Suspek kemudiannya melarikan diri selepas ditegur oleh penduduk kampung tersebut. Polis kemudian bergegas ke rumah itu dan menjumpai suspek sedang berada di tepi jalan selepasdia membeli makanan," katanya pada pemberita di sini Khamis.

Beliau hasil siasatan mendapati suspek berasal dari Lima, Peru dan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sejak 7 Ogos lalu.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui lima buah telefon bimbit, lesen memandu antarabangsa dan wang tunai RM22. Dia dipercayai terlibat dengan kejadian pecah dan curi wang mesin ATM semalam," katanya.

Suspek direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuridalam bangunan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda.

Pada Rabu rakannya seorang lelaki warga Argentina ditahan di plaza tol berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain