suria

Adik Beradik Ditahan Ketika Bungkus Dadah

BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan kakaknya ditangkap ketika sedang membungkus heroin dan syabu di rumah mereka di Simpang Empat.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata adik-beradik itu ditahan pada 7 Oktober bersama empat yang lain ketika sedang memproses dadah dan membungkusnya semula ke dalam paket kecil ketika ibu mereka tiada di rumah.

Polis merampas dadah bernilai RM7,740 dalam pelbagai bungkusan.

Din berkata dadah tersebut boleh mencecah RM20,000 apabila dijual dalam paket yang lebih kecil.

"Beberapa individu yang ditahan sedang memproses dadah sebaik saja polis tiba di rumah tersebut.

"Rupa-rupanya, aktiviti itu dilakukan ketika ibu adik-beradik itu tiada di rumah.

"Bapa mereka, yang tidak sihat dan berada di rumah tidak menyedari perkara itu," kata Din kepada pemberita, Selasa.

Seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai dalang kumpulan tersebut turut ditahan bersama dengan teman lelaki kakak remaja lelaki tersebut.

Turut ditahan sepupu adik-beradik itu dan juga teman lelakinya, masing-masing berusia awal 20-an.

"Kami percaya aktiviti itu bermula sejak dua bulan lalu dan dadah itu dibungkus semula dan dijual kepada pelanggan di luar daerah itu," katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya kerana mengedar dadah yang boleh membawa hukuman mati.

Artikel Lain