suria

Polis Melaka Tumpas Kumpulan Samun Jalanan 'Geng Samsul'

MELAKA: Polis Melaka menumpaskan kumpulan samun jalanan bermotosikal dikenali sebagai 'Geng Samsul' yang aktif sejak tiga bulan lepas sekitar Jalan Jonker dan Kota Laksamana di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata geng itu dianggotai dua remaja berusia 16 tahun, seorang lelaki berusia 20 tahun dan ketuanya, Samsul Anuar, 43, dikehendaki bagi kesalahan berkaitan dadah.

Beliau berkata mereka ditahan di sebuah rumah di Lorong Bukit Tempayan, Tangga Batu di sini pada 4 pagi 27 September lepas.

"Semua mereka ditahan sejak tarikh tangkapan itu hingga Selasa lepas dan semalam disambung reman bagi membantu siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata polis percaya kumpulan itu juga terlibat dalam jenayah ragut beg tangan seorang setiausaha berusia 30-an di depan rumah mangsa di Kota Laksamana di sini pada 11.30 malam 15 September lepas.

Raja Shahrom berkata dengan tumpasnya geng itu, polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes samun di dua lokasi berkenaan.

Beliau berkata polis merampas sebuah motosikal dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan, lapan telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah loket perak disyaki milik mangsa samun, sepucuk pistol mainan, empat pisau lipat, beberapa nombor pendaftaran motosikal palsu serta peralatan menghisap dadah.

Saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Dua daripada mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau termasuk jenayah curi motosikal, tipu dan pernah ditahan di Simpang Renggam," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain