suria

Maybank Umum Pelantikan Taswin Sebagai Presiden Bank Internasional Indonesia

KUALA LUMPUR: Kumpulan Perbankan Maybank pada Isnin mengumumkan pelantikan Taswin Zakaria sebagai presiden dan pengarah baru Bank Internasional Indonesia (BII).

Taswin, 45, adalah seorang warganegara Indonesia, telah berkhidmat sebagai anggota lembaga pengarah BII sejak 2004 lagi.

Beliau juga menduduki lembaga pengarah PT Jasa Angkasa Semesta Tbk (sebuah subsidiari SATS Singapura).

Taswin Zakaria sebelum ini adalah presiden PT Indonesia Infrastructure Finance.

Taswin juga berkhidmat sebagai pengarah Barclays Bank Plc di Indonesia dan juga mengetuai rantau Asia untuk Barclays (kewangan Islam).

Taswin memulakan kariernya dalam dunia perbankan di Citibank NA, Jakarta, yang mana beliau adalah ketua unit pengstrukturan semula korporat dan juga pembiayaan projek.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata, pemilihan Taswin dibuat berdasarkan pengetahuannya yang mendalam tentang persekitaran perniagaan Indonesia, serta pengalaman yang luas dalam bidang kewangan dan juga perbankan.

Artikel Lain