suria

Rakyat Malaysia Bertuah Tinggal di Negara Berdaulat & Aman - Imam Mesir

BENTONG: Rakyat Malaysia bertuah berada di dalam sebuah negara berdaulat, aman dan mewah serta mempunyai kerajaan yang prihatin dan bertimbang rasa terhadap rakyat, kata Sheikh Amru Jumaah Abduh, imam sebuah masjid terkemuka di Kaherah, Mesir.

Katanya, keadaan aman dan sejahtera yang dinikmati rakyat berbilang kaum di negara ini perlu dipertahankan, berbeza dengan keadaan di negaranya yang kini berdepan dengan pergolakan politik sehingga menyebabkan rakyat menderita.

"Negara Mesir walaupun besar dan mempunyai kepelbagai hasil bumi terutamanya minyak, tetapi kini dilanda pergolakan politik sehingga menyebabkan rakyat menderita dan ada yang mati," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi penterjemah kepada Bernama pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim di Bentong oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob di sini, Rabu.

Sheikh Amru berkata anak-anak yatim di negara ini juga turut bernasib baik kerana mendapat pembelaaan daripada kerajaan daripada segi kewangan dan pelajaran sekali gus memberikan mereka masa depan yang lebih baik.

Keramahan rakyat negara ini juga menarik minat beliau manakala makanan tempatan yang digemari beliau adalah bubur lambuk.

"Sebahagian besar juadah yang dihidangkan hampir sama dengan makanan di negara Mesir, tetapi di Mesir turut dihidangkan roti dan sebagainya.

"Keakraban rakayat serta keikhlasan kerajaan memerintah akan menjadikan Malaysia lebih maju dan berdaya siang walaupun ia merupakan sebuah negara kecil, tetapi ia kaya dengan semangat, keamanan serta perpaduan kental di kalangan rakyatnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain