suria

PM Cabar Orang Muda Keluar Dari Zon Selesa

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta masyarakat, khususnya golongan muda supaya keluar dari zon selesa dan mencabar diri melakukan perkara yang boleh membanggakan diri dan negara.

Perdana Menteri berkata kejayaan negara bergantung kepada daya saing dan semangat untuk mencuba di kalangan rakyat, khasnya dalam melakukan sesuatu yang tidak mungkin dilakukan orang lain.

Sambil menyifatkan kejayaan Kapten James Anthony Tan menempatkan nama dalam World Guinness Book of Records setelah menamatkan misi penerbangan solo mengelilingi dunia dalam tempoh 48 hari sebagai membanggakan negara, beliau percaya kejayaan itu mampu memberi inspirasi kepada generasi belia untuk melakukan perkara serupa demi negara.

"Saya bangga, di usia 21 tahun Kapten James telah melakukan perkara yang membanggakan negara dan saya yakin misi itu bukan semata-mata untuk dirinya tetapi dilakukan untuk Malaysia.

"Sebab itu saya harap lebih ramai orang muda rasa tercabar seterusnya mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan untuk kebaikan diri dan negara," katanya ketika berucap pada majlis penyempurnaan kecemerlangan 1Malaysia Around the World (1RTW) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini, Selasa.

Hadir sama penasihat program 1RTW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud.

Najib berkata kejayaan beberapa individu dari kalangan belia seperti Datuk Nicol David, Datuk Malik Mydin dan Muhammad Muqarrabin mencatat rekod dunia perlu dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk mencabar diri melakukan sesuatu yang lebih bermakna dalam kehidupan mereka.

"Negara punyai ramai individu yang boleh dijadikan idola untuk menginspirasikan diri melakukan sesuatu yang berbeza, dan kejayaan Kapten James menambahkan lagi bilangan mereka yang boleh dijadikan teladan," katanya.

Tan, 21, dari Sungai Long, Kajang memecahkan rekod penerbangan terpantas mengelilingi dunia yang dipegang juruterbang muda warga Switzerland Carlo Schmid, 22, selama 80 hari yang direkodkan pada 11 Julai tahun lepas.

Beliau juga menjadi juruterbang termuda Asean yang pertama melakukan ekspedisi solo mengelilingi dunia dengan melewati 20 negara dan 30 hentian, antaranya China, Jepun, Rusia, Amerika Syarikat, Kanada sebelum mendarat di pangkalan TUDM Subang hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain