suria

Lahad Datu: Lelaki Diseksa Dalam Video Bukan Anggota Keselamatan Malaysia

PETALING JAYA: Rakaman video yang tersebar menunjukkan seorang lelaki diseksa bukan anggota pasukan Malaysia yang terbunuh di Lahad Datu, kata polis.

Video yang tersebar secara meluas di laman web sosial media dan You Tube menunjukkan seorang lelaki dipotong tangan dan kemudian kepalanya dipenggal didakwa melibatkan anggota keselamatan Malaysia yang dibunh secara kejam di Lahad Datu.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyangkal kesahihan video berkenaan, dengan menegaskan lelaki di dalam video berkenaan bukan anggota pasukan keselamatan Malaysia.

“Daripada penelitian kami mendapati video berkenaan sebenarnya melibatkan seorang lelaki dari negara asing. Insiden itu berlaku di luar negara.

“Lelaki dalam video itu memang pasti bukan anggota keselamatan pasukan kami,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Berdasarkan seragam yang dipakai serta kawasan yang digambarkan dalam video itu, Khalid berkata ia memang bukan di Lahad Datu atau mana-mana tempat di Malaysia.

“Tambahan pula, lelaki dalam video itu tidak memakai pakaian seragam anggota keselamatan Malaysia.

“Kami berharap orang awam tidak terpengaruh dengan video ini,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa polis telah menubuhan pasukan petugas khas untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab menyebarkan video berkenaan.

“Kita akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab (menyebarkan video ini). Rakaman video sedemikian boleh menimbulkan ketatukan dan menjejaskan semangat anggota keselamatan,” katanya.

Khalid turut menasihatkan orang awam, terutamanya pengguna internet, tidak menyebarkan khabar angin atau laporan yang tidak disahkan berkenaan dengan Ops Daulat.

“Kita akan memaparkan laporan mengenai Ops Daulat melalui sidang media dan laman web sosial polis seperti Facebook dan Twitter.

“Khabar angin akan hanya menimbulkan kebimbangan kepada semua pihak,” katanya.

Artikel Lain