suria

PRU-13: Taib Gesa Penduduk Sarawak Beri Mandat Terbesar Kepada BN

BETONG: Penduduk Sarawak pada Khamis digesa agar memberi mandat paling besar kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata dengan berbuat demikian mereka menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Najib kerana menyediakan pelbagai program pembangunan dan bantuan bagi manfaat mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri di Beladin, sebuah pekan nelayan dan petani luar bandar, kira-kira 60 kilometer dari sini, untuk lawatan singkat pada Khamis.

Taib berkata program transformasi Najib adalah contoh keunggulan kepimpinan beliau yang membawa banyak manfaat kepada negara serta rakyat.

"Program transformasi luar bandar beliau dirangka khusus untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

"Ini dapat dilihat menerusi pembinaan lebih banyak prasarana asas seperti jalan raya, menyediakan bekalan air dan elektrik selain kemudahan pendidikan terbaik," katanya.

Beliau berkata rakyat akan hanya merosakkan peluang mereka untuk menjalani kehidupan lebih baik jika mereka membenarkan pembangkang mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Taib berkata sebagai contoh, di Beladin sendiri, seorang pemimpin pembangkang kebangsaan bergabung dengan badan bukan kerajaan dari luar negara untuk menghasut rakyat supaya menolak tanaman kelapa sawit di tanah gambut.

Ini, katanya, akan menghalang rakyat daripada meraih pendapatan yang diusahakan dari tanah mereka sendiri memandangkan Beladin terletak dalam kawasan tanah gambut.

Terdahulu ketika berucap, Anggota Parlimen Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata lawatan Najib membawa lembaran baharu pembangunan bagi pekan kecil di luar bandar itu.

Beliau berkata kerajaan, sebagai contoh, melaksanakan dua loji rawatan air penyahgaraman di pekan itu dan di Kampung Maro masing-masing melibatkan kos RM1.5 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih mereka.

"Kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk membeli dan mengagihkan 500 unit Jerrycan, iaitu tanki penapis air mudah alih, dan RM500,000 di bawah program Nadi Kasih untuk membaiki rumah penduduk miskin manakala kira-kira 1,600 penduduk di sini akan turut menerima bantuan BR1M 2," katanya.

Beliau yakin rakyat akan membalas budi dengan sekali lagi mengekalkan kerusi Batang Lupar di tangan BN dalam pilihan raya kelak. BERNAMA

Artikel Lain