suria

JPN Akan Batalkan Permohonan IC Bermasalah - RCI

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah pada Khamis diberitahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan membatalkan kad pengenalan (IC) yang bermasalah dan mengeluarkannya daripada rekod JPN.

Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN di Putrajaya Md Solehan Omar berkata, IC yang dikategorikan sebagai bermasalah dan layak dikeluarkan daripada rekod JPN disebabkan nama, alamat, tarikh dan tempat lahir, cap jari dan gambar pemohon berbeza dengan rekod JPN.

Menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup mengenai pengeluaran IC bermasalah di negeri ini, beliau berkata Jawatankuasa Khas Kad Pengenalan Sabah dan Sarawak ditubuhkan pada 2006 bagi mengatasi masalah pengeluaran IC yang tidak teratur yang dianggotai ketua pengarah JPN, pengarah bahagian IC dan juga ketua-ketua unit JPN di Sabah dan Sarawak.

"Jawatankuasa ini akan menjalankan semakan dan siasatan terhadap aduan mengenai IC yang diterima dari JPN Sabah sebelum membuat keputusan untuk menerima atau menolak IC itu," katanya pada prosiding kelapan suruhanjaya itu.

Md Solehan, 58, menjelaskan jawatankuasa itu akan membatalkan permohonan IC yang bermasalah dan tidak layak dan mengeluarkan nama pemegang IC itu dari rekod JPN.

Beliau yang juga seorang daripada panel dalam Jawatankuasa Khas itu bagaimanapun tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar IC bermasalah yang berjaya diselesaikan kerana proses itu masih berterusan.

Ketika ditanya sama ada terdapat satu nombor IC yang digunakan oleh dua orang atau lebih di Sabah, saksi ke-51 itu berkata sepatutnya satu nombor kad pengenalan (IC) sahaja dipegang oleh seorang individu.

Bagaimanapun mengikut rekod JPN, di Sabah terdapat anggaran 600 nombor IC yang digunakan oleh dua orang atau lebih.

Merujuk kepada pengeluaran resit JPN1/9 iaitu dokumen pengenalan diri yang diberikan kepada pemohon sementara IC siap, dan resit JPN1/11 iaitu resit laporan kehilangan IC, beliau berkata kedua-dua resit itu boleh didaftarkan untuk mengundi kerana ianya resit rasmi yang dikeluarkan JPN.

Ditanya Manoj apakah fungsi Agency Linked Up System (ALIS), Md Solehan berkata melalui ALIS, jabatan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, pihak polis dan banyak lagi boleh menyemak maklumat individu seperti nombor IC, nama, alamat, dan tempat lahir.

Beliau juga menjelaskan jawatankuasa itu tidak menghubungi jabatan seperti SPR apabila nama pemohon IC yang tidak layak telah dikeluarkan daripada rekod JPN kerana ianya boleh diketahui melalui ALIS.

Md Solehan berkata JPN Sabah dan Sarawak juga pergi ke kawasan pedalaman negeri itu yang penduduknya tidak mempunyai sijil kelahiran bagi menjalankan proses mendaftar sijil kelahiran baharu atau sijil lewat daftar.

Majistret juga turut sama pergi bagi mengesahkan sijil kelahiran itu, katanya. Suruhanjaya juga mendengar keterangan Abdul Khalid Abdul Karim, penolong penguasa Jabatan Imigresen Malaysia yang juga ketua unit khas, bahawa sehingga Disember 2012 seramai 98,427 kad IMM-13 dikeluarkan kepada pelarian Filipina di negeri itu.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 60,248 pemegang kad itu masih aktif berdasarkan permohonan rekod lanjutan masa yang dibuat pemegang kad tersebut manakala bakinya mungkin tidak membuat lanjutan masa, meninggal dunia atau sudah kembali ke negara asal.

Katanya beliau hanya mempunyai rekod IMM-13 itu bermula tahun 2005 sahaja.

Abdul Khalid berkata kad IMM-13 itu sah laku dalam tempoh setahun dan jika pemegangnya telah disabitkan di mahkamah, kad itu akan dibatalkan oleh pengarah Imigresen.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada dia mempunyai rekod jumlah IMM-13 yang dibatalkan atas sabitan mahkamah, saksi itu berkata dia tidak tahu mengenainya.

Berkenaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengeluarkan kad IMM-13, Abdul Khalid berkata pada masa ini mereka menggunakan Arahan Pejabat 2/2012 iaitu bagi Jabatan Imigresen Sabah, yang diperakukan pada 31 Dis lepas, yang sangat komprehensif berbanding SOP pada 2005 dan 2011.

Kepada soalan Ansari Abdullah, peguam pemerhati kepada Dr Chong Eng Leong, seorang penulis buku, mengenai SOP bagi pengeluaran IMM-13 dari tahun 1970-an hingga 1984, saksi itu berkata beliau tidak tahu.

Beliau juga bersetuju dengan Ansari bahawa SOP terbaharu itu dibuat selepas kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada Jun tahun lepas.

Saksi itu bersetuju dengan cadangan Ansari bahawa mengikut Seksyen 16 dan 17, Akta Imigresen, menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak yang masuk ke negeri Sabah di kawasan yang tidak diwartakan.

Kepada soalan lain sama ada ada sesiapa didakwa di mahkamah kerana melanggar akta ini sepanjang beliau bertugas di Jabatan Imigresen sejak 1983, Abdul Khalid berkata "tidak".

Yuhanis Bira, 57, dari Sulawesi, Indonesia memberitahu suruhanjaya dia dihampiri seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai 'ejen' yang boleh membantunya mendapatkan IC supaya dia boleh terus bekerja di Sabah semasa dia sedang bercuti Krismas pada 1978.

Pengawal keselamatan itu yang tinggal di Tanjung Batu, Tawau berkata 'ejen itu mengisi borang pendaftaran bagi mendapatkan IC itu bagi pihaknya dan menegaskan dia tidak pergi ke JPN Tawau bagi memohon IC itu.

Kepada soalan pegawai pengendali Jamil Aripin, Yuhanis berkata dia bersetuju memohon IC itu selepas diberitahu 'ejen' itu bahawa kerajaan Malaysia telah meminta daripada kerajaan Indonesia untuk mendaftarkan warganya di Sabah sebagai warganegara Malaysia.

Katanya dia menunggu setahun untuk mendapatkan IC biru yang diserahkan sendiri oleh 'ejen' tersebut.

Saksi itu berkata dia sendiri pergi ke JPN Tawau untuk menukar IC birunya kepada IC bunga raya seterusnya kepada MyKad dan mendaftar sebagai pengundi sejak 1981 dan telah mengundi pada setiap pilihan raya.

Petrus Malong, 70, dari Flores, Indonesia memberitahu suruhanjaya dia tiba di Tawau pada 1962 dan berkerja di ladang kelapa sawit di mana majikannya membuat pasport British kerana ketika itu Sabah masih di bawah pentadbiran British.

Katanya selepas beberapa tahun bekerja di ladang itu, dia mendapat IC hijau bagi taraf penduduk sementara dan pada 1972, memperoleh IC merah bagi taraf penduduk tetap selepas beberapa pegawai Imigresen dan JPN pergi ke ladang itu.

Pada tahun 1990-an, katanya dia hendak menukar IC merah kepada IC bunga raya, tetapi dia diberi IC bunga raya berwarna hijau dan pada 2000, dia menukar IC bunga raya hijau itu kepada MyKad merah.

Pada ketika ini, pihak-pihak dalam prosiding keliru mengenai pengeluaran IC tersebut.

Peguam Datuk Ahmad Abdul Rahman mewakili Persatuan Peguam Sabah bangun dan memberitahu suruhanjaya bahawa pihaknya akan mengkaji undang-undang sebelum dan selepas Malaysia dibentuk pada 1963 dan tidak menolak kemungkinan terdapat perubahan pada undang-undang di Sabah.

Prosiding di hadapan lima anggota panel diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung 22 Februari dan setakat ini 52 orang saksi selesai memberi keterangan.

Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Professor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas timbalan ketua menteri dan bekas peguam besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping. BERNAMA

Artikel Lain