suria

Paras Air Sungai Selangor Di Kuala Badong Lebih Paras Bahaya

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meminta penduduk di sekitar Sungai Selangor di Kuala Badong, Kuala Selangor berjaga-jaga berikutan air sungai berkenaan telah melebihi aras bahaya dengan bacaan 4.04 meter.

Kawasan sekitar dikhuatiri akan dinaiki air, menurut portal JPS yang dikemaskini pada 10 pagi Selasa.

Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat pula telah melebihi aras amaran dengan bacaan 4.11m, dan JPS meminta penduduk sekitar berwaspada.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan mangsa banjir di Perak setakat 9.30 pagi ini berjumlah 35 orang daripada sembilan keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Agama Rakyat, Kampung Padang Serai di Manjung.

Portal banjir MKN bagaimanapun tidak memberi maklumat terbaharu mengenai bilangan mangsa di Selangor, Johor dan Melaka.

Setakat malam tadi, bilangan mangsa banjir di Selangor ialah 1,357 orang daripada 345 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan empat di Kuala Langat, dua di Sepang dan satu di Kuala Selangor.

Menurut MKN, bilangan mangsa di Johor dan Melaka ialah masing-masing 138 di Batu Pahat dan 84 orang di Jasin. BERNAMA

Artikel Lain