suria

Empat Kes Penyakit Kencing Tikus Dilapor di HRPZII

KOTA BAHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini merekodkan empat kes penyakit 'kencing tikus' atau leptospirosis sejak Januari lepas, yang menyebabkan tiga pesakit meninggal dunia.

Pengarah HRPZII Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata dua kes dikesan di Pasir Puteh serta masing-masing satu di Tanah Merah dan Pasir Mas.

"Penyakit ini boleh menyebabkan kemudaratan yang sangat teruk melalui jangkitan terutama selepas kita bersentuhan dengan sisa haiwan itu. Paling biasa berlaku adalah sungai atau air bertakung yang dicemari dengan kencing tikus, dan selepas bersentuhan, mereka tidak membersihkan diri," katanya kepada pemberita pada majlis Aidilfitri Perdana HRPZII pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar membersihkan diri jika terdedah kepada sumber air yang kotor untuk mengelak dijangkiti penyakit berbahaya tersebut. Sementara itu, beliau berkata kadar kes demam denggi atau jangkitan akibat gigitan nyamuk Aedes menurun dan tiada kematian direkodkan pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Ghazali berkata beliau yakin pembinaan beberapa blok bangunan baru HRPZII, yang bernilai RM180 juta, akan siap sepenuhnya tahun depan.

Beliau berkata ini akan melancarkan lagi operasi hospital itu.

"Pembinaan beberapa blok baharu itu telah dimulakan sejak dua tahun lepas dan saya yakin semua unit selepas ini akan kembali ke bangunan baharu malah kita turut menyediakan empat tingkat tempat meletak kenderaan awam," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain