suria

Pelajar India Mahu Kerajaan Kembalikan Sistem Kuota Bagi Kemasukan IPTA

CYBERJAYA: Mahasiwa yang menghadiri Sidang Kemuncak Pelajar India 1Malaysia bersetuju sebulat suara agar pembuat dasar mengembalikan sistem kuota bagi meningkatkan kemasukan penuntut India ke universiti awam.

Presiden 1Malaysia Indian Student Movement (1MISM) D. Mahaganapathy berkata pelajar berpandangan sejak sistem meritokrasi diperkenalkan enam tahun lepas, jumlah pengambilan penuntut India ke universiti awam menurun dengan ketara terutama untuk fakulti perubatan, pergigian, farmasi dan kejuruteraan.

Hanya tahun ini jumlah pelajar perubatan meningkat kepada 90 orang berbanding 55 tahun lepas, katanya.

"Di bawah sistem kuota, penuntut India diperuntukkan hampir 10 peratus tempat di universiti awam, namun di bawah sistem merit tidak sampai tiga peratus, " katanya kepada pemberita selepas penutupan sidang kemuncak itu, di sini malam Ahad.

Sidang kemuncak tiga hari anjuran 1MISM itu disertai 600 mahasiswa dari 31 universiti awam dan 11 kolej swasta dari seluruh negara. Penutupan dilakukan Setiausaha Agung MIC Datuk S. Murugesan.

Pelaksanaan semula sistem kuota itu adalah antara 10 resolusi yang diluluskan pada perhimpunan tersebut kata Mahaganapathy, yang menambah sistem berkenaan akan memastikan pengambilan yang adil dan saksama.

"Kami juga meminta kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme bagi meningkatkan enrolmen penuntut India di universiti awam setiap tahun kerana pada masa ini pelajar lulusan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) perlu bersaing dengan lulusan program matrikulasi dan asas.

"Kita boleh rumuskan pelajar matrikulasi lebih berpeluang melanjutkan pelajaran berbanding pelajar yang mengambil STPM kerana peperiksaan itu lebih sukar," katanya.

Resolusi lain ialah penubuhan pejabat pelbagai kaum seperti di Universiti Malaya bagi mengendalikan keperluan pelajar di universiti masing-masing, mewujudkan kafeteria vegetarian 1Malaysia dan geran tetap untuk membiayai aktiviti pelajar. Pada majlis itu Mahaganapathy turut melancarkan geran RM30,000 bagi pelajar menganjurkan aktiviti berkaitan gagasan 1Malaysia dan menyemarakkan perpaduan antara kaum.

Selain itu, 11 universiti menerima anugerah serta wang RM1,000 masing-masing sebagai pengiktirafan terhadap aktiviti pelajar mereka. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain