suria

Pemilik Kenderaan Perlu Berani Minta Ejen EPS Tunjuk Kad Kuasa

KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan perlu lebih berani meminta ejen perolehan semula (EPS) kenderaan menunjukkan kad kuasa masing-masing bagi mengelak daripada ditipu dan disamun.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur Abu Samah Shabudin berkata menunjukkan kad kuasa dan surat tarik kenderaan yang asli daripada pihak bank ialah prosedur yang perlu dipenuhi sebelum EPS dibenar menarik sesebuah kenderaan.

"Jika ada orang yang datang untuk ambil kereta, pastikan mereka mempunyai kad kuasa dan surat tarik kereta yang asli kerana jika tidak mereka tiada hak untuk menarik mana-mana kereta.

"Kad kuasa yang dikeluarkan KPDNKK mempunyai 'watermark' yang mana apabila dicetak ia tidak akan kelihatan dan penama yang tertera di kad kuasa mesti sama dengan penama di dalam surat yang dikeluarkan bank," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, Selasa.

Hadir sama Setiausaha PPIM Datuk Nadzim Johan. Abu Samah berkata kesedaran pemilik kenderaan mengenai prosedur dan tugasan EPS kenderaan perlu ditingkat ekoran kes tipu, rompak dan samun melibatkan 'penarik kereta' agak membimbangkan dengan 40 kes direkod sejak April lepas.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan pada Jun tahun lepas telah menetapkan beberapa syarat baru sebelum seseorang itu boleh dilantik sebagai ejen EPS kenderaan.

Antaranya hanya mereka yang berdaftar dan mempunyai permit dari kementerian boleh dilantik sebagai EPS selain menjalani saringan dan dipastikan tiada rekod jenayah.

Beliau berkata bagaimanapun, mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau tetap diberi peluang dengan tempoh percubaan setahun berbanding dua tahun bagi individu yang bebas daripada perlakuan jenayah.

Menurutnya, 4,898 permit EPS dikeluarkan setakat ini. -BERNAMA

Artikel Lain