suria

Polis Tahan Orang Awam Himpun Secara Haram Di Wisma Sri Pahang

KUANTAN: Sekumpulan orang awam yang berhimpun secara haram di hadapan Wisma Sri Pahang di sini Selasa ditahan polis kerana gagal mematuhi arahan supaya bersurai dari pintu masuk bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, kumpulan seramai 31 orang itu ditahan pada 3.50 petang apabila mereka gagal mengikuti arahan secara baik yang dikeluarkan oleh polis.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai datang dari Cameron Highlands untuk berjumpa Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob mengenai isu tanah, bagaimanapun gagal kerana beliau tiada di Kuantan.

"Ekoran daripada itu, mereka berkumpul di pintu masuk Wisma Sri Pahang sebagai tanda protes pada 10.45 pagi sebelum setiausaha sulit kepada Menteri Besar datang dan membawa 14 orang daripada mereka ke pejabat untuk berbincang," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Bagaimanapun, katanya, selepas perbincangan selesai kira-kira 12 tengah hari, kumpulan berkenaan masih berdegil dengan meneruskan perhimpunan itu sebelum tiga orang daripada mereka dipanggil semula untuk berbincang.

Polis kemudian terpaksa menahan kesemua mereka kerana bukan sahaja tidak berganjak dari kawasan bangunan berkenaan malah turut memasang khemah dan kain rentang di pintu masuk.

Jasmani berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun serta enam kanak-kanak 4 hingga 16 tahun.

Katanya, seorang daripada mereka dikenali sebagai K. Uttaya, 23, yang dikehendaki polis kerana kes dadah mengikut Seksyen 15 (1(a) Akta Dadah Berbahaya.

Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kes disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, berkelakuan tidak senonoh dan mengadakan perhimpunan haram. - BERNAMA

Artikel Lain