suria

Adun BN Dakwa Unisel Jadi Pilihan Terakhir

SHAH ALAM: Universiti Selangor (Unisel) dijangka menjadi projek gajah putih apabila pusat pendidikan tinggi itu didakwa menjadi pilihan terakhir untuk pelajar melanjutkan pelajaran.

Kebimbangan itu dibangkitkan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) berikutan defisit yang dicatatkan Unisel akibat penurunan jumlah keuntungan yang dicatatkan universiti berkenaan sejak 2008.

"Kebimbangan kita, Unisel yang sepatutnya menjadi mercu tanda kepada Selangor dalam sektor pendidikan kini berada dalam keadaan cukup kritikal.

"Berdasarkan rekod yang saya ada, kita bimbang bagaimana universiti ini boleh dikekalkan sekiranya pendapatan yang diperolehi lebih rendah berbanding jumlah perbelanjaan. Kalau trend ini berterusan saya tidak hairan ia akan menjadi gajah putih di Bestari Jaya," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Selasa.

Selain itu Sulaiman turut mempertikaikan keupayaan pihak pengurusan Unisel yang didakwa gagal menguruskan universiti milik kerajaan negeri itu terutama bagi menjana pendapatan tahunan.

Lebih malang apabila kelemahan pengurusan itu semakin ketara apabila perbelanjaan Unisel mencatatkan peningkatan setiap tahun.

"Daripada data yang saya ada, pendapatan Unisel setiap tahun semakin merosot iaitu sebanyak RM94.4 juta pada 2008, RM93.51 juta pada 2009 dan RM75.48 juta pada 2010. Angka ini jelas menunjukkan penurunan hampir 20 peratus.

"Sebaliknya jumlah perbelanjaan pula menunjukkan peningkatan dan tidak selari dengan pendapatan," katanya.

Jelas Sulaiman, perbelanjaan Unisel pada 2008 adalah sebanyak RM93.97 juta.

Jumlah itu meningkat kepada RM106.13 juta pada 2009 dan RM113.11 juta pada 2010.

"Saya nak tanya adakah Unisel diuruskan dengan betul kerana pelajar semakin berkurang, semakin dijauhi serta tidak menjadi pilihan utama termasuk rakyat Selangor," katanya.

Artikel Lain