suria

Wang Kertas Siri Baharu Dilengkapi Teknologi Terkini - Bank Negara

KUALA LUMPUR: Wang kertas siri baharu, yang akan berada dalam edaran mulai Isnin, dilengkapi dengan teknologi wang kertas terkini untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan, kata Bank Negara, Khamis.

Teknologi baharu itu akan termasuk imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna, kata bank pusat itu dalam satu kenyataan, Khamis.

Bertema "Keunikan Malaysia", wang kertas terbaharu itu diinspirasikan daripada kepelbagaian budaya, warisan dan alam semulajadi negara, katanya.

Bank itu berkata mereka yang cacat penglihatan juga boleh menggunakan ciri-ciri spesifik seperti pengenalan sentuhan untuk mengenalpasti dan membezakan denominasi berlainan.

Siri wang kertas baharu itu adalah dalam denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100. Wang kertas RM20 diperkenalkan semula dalam siri baharu ini dan substrat polimer digunakan untuk wang kertas RM1 dan RM5.

"Wang RM50 yang digunakan sekarang telah dikeluarkan semenjak Disember 2007 dan akan kekal dalam edaran," katanya.

Bank Negara menggesa pihak berkaitan untuk mempercepatkan penentukuran mesin mereka untuk menerima wang kertas siri baharu ini untuk kemudahan orang ramai.

Wang kertas siri baharu ini akan berada dalam edaran bersama-sama wang kertas sedia ada yang kekal sah. - BERNAMA

Artikel Lain