suria

Polis Pahang Edar Dua Gambar Suspek Kes Samun

KUANTAN: Polis pada Selasa mengedarkan dua fotofit suspek lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun di Jalan Beserah dan di sebuah rumah di kampung Terlang, Pekan.

Menurut Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri, fotofit tersebut dibuat berdasarkan keterangan daripada mangsa terbabit. Katanya, mangsa samun tersebut hanya dapat mengenal pasti salah seorang daripada suspek yang menyamun mereka.

"Pihak polis sedang mempertingkat usaha bagi memburu penjenayah terbabit," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Beserah awal pagi Isnin, seorang pekerja kedai makan, 38, cedera di lehernya setelah bergelut dengan salah seorang daripada tiga lelaki yang menyamunnya.

Dalam kejadian 4.30 pagi, Ahad lepas, mangsa, seorang lelaki, yang sedang mengemas kedai makan berkenaan didatangi tiga suspek yang menaiki dua buah motosikal sebelum melarikan wang tunai RM2,000 bersama 20 kotak rokok.

Sementara itu, bagi kes samun di kampung Terlang, Pekan pula pada 3.30 pagi semalam itu, 13 sekeluarga yang sedang tidur disamun tiga lelaki bersenjatakan parang menyamun rumah mereka. "Dalam kejadian itu, beberapa ahli keluarga terbabit diikat dan mereka mengalami kerugian kira-kira RM4,000.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Keny Abdullah di talian 09-5652042 atau 09-5142999," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain